Perbadankan Prasarana elak masuk perangkap sama

Perbadankan Prasarana elak masuk perangkap sama

Centre For Malaysian Political And Economic Transcendence (Competent) mengingatkan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) agar tidak mengulangi kegagalan pentadbiran sebelum ini dalam mengutamakan pengangkutan awam perbandaran yang cekap.

Ketua Eksekutifnya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, pentadbiran Kerajaan Persekutuan lalu telah mengambil jalan mudah dengan membuat hutang yang bakal diwarisi oleh generasi kemudian untuk membina jajaran-jajaran rel yang gah lagi baharu tanpa menyelesaikan masalah-masalah lama yang berakar umbi lagi menjadi punca kepada kepincangan pengangkutan awam perbandaran.

“Pentadbiran kerajaan baharu pula tidak seharusnya memasuki perangkap yang sama dengan mengambil jalan senang sekarang untuk terus membiarkan masalah yang sama ditenggelami lagi dikaburi oleh janji-janji populis yang kelak akan mendatangkan kesusahan kepada rakyat di kemudian hari,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Anwar, pemimpin muda Amanah.

Wan Anwar Wan Ibrahim

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan PH lebih wajar memperbadankan Prasarana sebagai badan berkanun perancangan dan pentadbiran pengangkutan perbandaran.

Menurutnya, langkah tersebut perlu dilakukan selepas konsolidasi melibatkan kesemua aset berkaitan pengangkutan yang bukan sekadar bas, monorel, LRT, MRT, dan terminal, bahkan kesemua konsesi lebuhraya perbandaran yang bertol

Beliau berkata, pendekatan holistik itu sekurang-kurangnya bagi wilayah konurbasi Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan dengan menyerapkan sebahagian fungsi penyelarasan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ke dalam badan baharu tersebut.

“Pengurusan, pengoperasian dan proses pembuatan keputusan badan ini sewajarnya dibiayai dan disertai pihak berkuasa tempatan terlibat untuk ketelusan dan pemerkasaan pemegang kepentingan tempatan.

“Hutang prinsipal pembinaan rel bandar, termasuk LRT Kelana Jaya dan Ampang yang dibina pada tahun 90-an, yang kesemuanya bernilai puluhan bilion perlu juga dihalakan sebahagiannya kepada pihak pemaju persekitaran stesen rel yang mengaut keuntungan komersial di atas kos yang ditanggung umum,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berpendapat pembinaan prasarana pengangkutan awam yang lebih mesra bajet seperti ‘Bus Rapid Transit’ (BRT), serta pengoperasian rel dan bas perlu ditampung sebahagiannya oleh mekanisme perolehan.

Contohnya, seperti cukai parkir dalam kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD), dan cukai pintu yang progresif pada pemilik hartanah yang mempunyai lebihan nilai kumulatif hartanah.

“Ini dapat sekali gus mengurangkan penggunaan kenderaan peribadi dan membentuk pembangunan perbandaran yang mesra penduduk dan bukan mesra kereta, disamping mengurangkan spekulasi hartanah yang menjadi punca kepada permasalahan rumah mampu milik atau sewa.

“Ini sememangnya tugas yang susah lagi rumit dan adalah sukar diterima sekiranya penjimatan bebanan kerajaan jangka pendek dilihat lebih utama dari perancangan rapi yang membawa kepada pengurangan bebanan kos hidup rakyat dalam jangka masa panjang,” jelasnya.

Mengulas pembubaran SPAD, Competent berpendapat pendekatan lebih menyeluruh untuk menyelesaikan cabaran pengangkutan awam perbandaran semasa perlu diberikan keutamaan bukan sekadar membubarkan badan berkanun seperti SPAD hanya kerana ingin melenyapkan legasi pentadbiran sebelum ini.

“Pengumuman penyerapan SPAD ke dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana wujud kekosongan jawatan adalah sesuatu yang wajar difikir semasak-masaknya kerana SPAD ditubuhkan untuk mengisi jurang bidang kuasa perancangan pengangkutan awam perbandaran yang tidak seragam dan tidak mahu dipikul oleh agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Penyerapan SPAD dalam Kementerian Pengangkutan tidak dinafikan mampu mengurangkan bidang kuasa bertindih dari segi pelesenan dan penguatkuasaan, tetapi pada masa yang sama tidak akan menyelesaikan kelompangan dalam perancangan pengangkutan yang bersepadu terutamanya di peringkat wilayah perbandaran,” hujahnya.

Wan Anwar berkata, pentadbiran pengangkutan perbandaran di negara ini tidak seperti di negara-negara maju apabila kutipan tol, perancangan jalan dan lebuhraya dan penyediaan bas, rel serta terminal kesemuanya berada di bawah payung badan berkanun pengangkutan wilayah yang sama.

“Competent¬† seterusnya ingin menyarankan kepada pihak kerajaan yang baru supaya tidak melihat keperluan badan berkanun penyelarasan pengangkutan sebagai satu pembaziran tanpa melihat kepada potensi perolehan pendapatan yang ada bagi memastikan kemampanan organisasi.

“Sebagai misalan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Suruhanjaya Tenaga yang masing-masing tidak diserapkan ke kementerian berkaitan mempunyai keupayaan untuk memperoleh surcaj dari penggunaan telefon, air dan elektrik berdasarkan daya saing komersial yang wujud dalam industri-industri ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya bimbang daya saing pengangkutan awam perbandaran akan menjadi lebih terjejas terutama dengan penghapusan tol dan pengenalan kembali subsidi minyak tanpa adanya penyelarasan antara pengangkutan awam, peribadi dan pembangunan gunatanah di kedua-dua peringkat penggubalan dasar persekutuan dan perancangan pelaksanaan tempatan atau wilayah.

Hal ini kerana, jelasnya, penaiktarafan jalan raya dan pembangunan baharu sering tidak mengambil kira kemudahcapaian (‘accessibility’) pejalan kaki dan keberkesanan corak laluan bas sebaliknya sering berdasarkan kelancaran pergerakan kenderaan peribadi bukannya keberkesanan pergerakan orang ramai.

“Lihat sahaja kebanyakan bandar-bandar utama di Malaysia yang mana koridor-koridor utama yang satu ketika meriah dengan kepelbagaian aktiviti di tepi jalanan sudah menjadi malap dan sekadar menjadi kawasan pintasan trafik atau ‘bypass’ kerana sudah tidak menarik lagi bagi orang ramai untuk menggunakan laluan bersebelahan dengan arus trafik lebar dan juga deras.

“Bayangkan dahulu dengan adanya SPAD sekalipun, Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor masih boleh mencadangkan pemanjangan MRT serta lebuhraya ke pinggiran rebakan bandar yang bakal ditarah oleh pemaju-pemaju tertentu, yang mana bercanggah dengan Pelan Induk Pengangkutan Awam Lembah Klang yang dikeluarkan oleh SPAD pada tahun 2013, apatah lagi tanpa SPAD?” soalnya.

Wan Anwar turut menjangkakan perancangan perkara-perkara yang lebih asas dan mesra bajet seperti penyediaan laluan bas merentasi sempadan bidang kuasa LLM, JKR dan PBT akan terabai.

“Ini juga belum mengambil kira ketiadaan Pelan Induk Lebuhraya yang menjadi antara faktor terbesar kepada rebakan perbandaran tidak terkawal di Lembah Klang,” katanya.

Berbeza dengan negara-negara maju, jelasnya, penggubalan dasar tertinggi pengangkutan awam dan lebuhraya seperti piawaian mutu perkhidmatan rel dan bas, perancangan jaringan lebuhraya dan rel negara adalah di bawah satu kementerian yang sama.

“Namun, perancangan khusus pengangkutan setempat yang merangkumi perancangan jalanraya yang mengutamakan penggunaan bas secara lumrahnya berada di bawah bidang kuasa badan berkanun kerajaan yang berkait rapat dengan urusan pembangunan wilayah konurbasi, seperti Transport for London di London, Land Transport Authority di Singapura, Autoritat del Transport Metropolit√† di Barcelona dan Greater Vancouver Transportation Authority di Vancouver.

“Berlainan pula dengan Lembah Klang di mana pengguna lebih menyantuni rel dari bas sementara di kota-kota bertaraf antarabangsa yang telah disebutkan, bas menjadi pilihan pertama pengangkutan awam diikuti dengan rel.
Apabila kota-kota ini menyekat penggunaan kereta dan memudahkan pejalan kaki, maka tidak aneh bagi rakyatnya untuk menaiki bas kerana seseorang hanya perlu berjalan kaki untuk mencapai ke hentian bas yang terdekat,” tambahnya lagi.

8.1
OVERALL SCORE
: 9.0
6 user votes x 8.0
CATEGORIES
TAGS