Malaysia Dateline

Perbaiki segera kepimpinan Melayu-Islam, seru Teras

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) melihat integriti serta wibawa institusi Melayu-Islam dalam negara kini semakin pincang dengan imej yang semakin parah.

Bukan sahaja soal pengurusan, malah turut terpalit dengan kepincangan salah guna dana yang menyalahi peraturan.

Demikian dinyatakan oleh Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan beliau semalam.

Tegas beliau lagi, seharusnya ia dipantau dan diambil tindakan sejak awal lagi.

“Teras merakam kekecewaan yang teramat sangat apabila kepincangan yang berlaku bukannya disebabkan oleh faktor luaran, sebaliknya berpunca dari dalam.

“Faktor utama adalah kepimpinan Melayu di semua peringkat, termasuklah istana, agama, politik, birokrasi, korporat dan intelektual perlu diperbaiki segera.

“Di sudut yang lain pula, segala usaha dilaksanakan dengan mewujudkan puluhan maupun ratusan agensi yang didukung oleh kerajaan bagi mengangkat serta memperkasakan sosio-ekonomi bangsa,” jelas beliau lagi.

Mohd Azmi yang juga merupakan Presiden Mapim turut berkata, namun demikian dari satu sudut yang lain, setelah berbilion ringgit dibelanjakan serta ribuan petugas yang digajikan, ternyata urus tadbir agensi-agensi terbabit berjalan dalam situasi yang amat pincang.

“Agensi utama seperti Felda, Felcra, Mara serta Tabung Haji kini terdedah dengan dakwaan kepincangan yang amat mengecewakan.

“Sedangkan harapan yang amat tinggi diletakkan kepada pengurusan yang telah diamanahkan, sebaliknya urus tadbir yang diharapkan didapati sering berhadapan dengan campur tangan politik dan kepentingan peribadi.

“Kini gambaran yang cuba diterjemahkan ialah agensi-agensi Melayu-Islam dilihat terlalu lemah serta tidak mencapai tahap pengurusan yang diharapkan, tetapi bergelumang dengan krisis pengurusan yang tidak berkesudahan,” ujarnya lagi.

Beliau juga bertanya, persoalannya apakah semua ini mahu dikaitkan dengan konspirasi bangsa lain untuk menjatuhkan bangsa Melayu.

Tambahnya lagi, sudah pasti semua pimpinan Melayu-Islam dalam negara termasuklah dalam kalangan parti politik, NGO, ahli agama, cendekiawan, profesional serta aktivis masyarakat terpaksa menerima hakikat bahawa kerosakan berpunca dari pengurusan agensi tersebut.

“Tidak dapat dinafikan bukan sedikit para birokrat dan teknokrat bangsa yang telah dilahirkan melalui sistem pendidikan sejak pelaksanaan DEB pada tahun 1970 lagi.

“Kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan adalah untuk memberi keutamaan kepada anak bangsa demi mencambahkan pengurusan Melayu-Islam yang profesional dan berwibawa.

“Persoalannya kenapakah berlaku kepincangan dalam pengurusan agensi-agensi terbabit,” soal beliau lagi.

Malah katanya, kualiti pembinaan insan dan nilai amanah yang masih gagal dihayati, kepentingan kelompok, kefanatikan politik dan kepentingan diri menyebabkan bangsa dan agama dilupakan.

Tegasnya lagi, pendedahan demi pendedahan tidak harus dilihat dari sudut persaingan politik kuasa, tetapi ialah memperbetulkan kepincangan.

“Sudah pasti ada segelintir pihak yang menafsirkan bahawa tindakan undang-undang yang diambil adalah dendam politik.

“Walau bagaimanapun, kepincangan tidak dapat dikompromi kerana rakyat inginkan jawapan dan tindakan tuntas, bukan saling menuding jari dan memberi komentar yang menambahkan kekeliruan.

“Teras berpendapat, bangsa Melayu sedang menghadapi ‘defisit nilai amanah’ yang perlu diperbaiki dengan segera,” katanya.

Menurut Mohd Azmi lagi, retorik bangsa, ketuanan dan keistimewaan bangsa Melayu yang sering dilaung-laungkan sudah tidak membawa erti lagi, apabila pelbagai agensi Melayu-Islam menghadapi krisis salah urus yang amat meruncing.

Rentetan itu katanya, semua kelompok bangsa harus segera balik ke titik asal tujuan utama penubuhan setiap agensi terbabit dan bukannya menjadi lubuk habuan politik atau mengagih-agihkan ghanimah politik untuk mengumpul kekayaan.

“Semua agensi Melayu-Islam khususnya bagi membina sosio-ekonomi bangsa hendaklah diserahkan kepada golongan yang berkelayakan dan memenuhi merit profesionalisme yang sepatutnya.

“Mereka juga harus mempunyai iltizam dan mempamerkan integriti yang tinggi serta sifat amanah dan kebertanggungjawaban yang utuh bagi mengurus agensis terbabit.

“Kita sudah muak dan mual dengan gelagat mereka yang memperaga diri sebagai pejuang bangsa dan agama, sebaliknya sama dengan perumpamaan ‘harapkan pagar, pagar yang memakan padi’,” sarannya lagi.