Malaysia Dateline

Mohd Saifullah Abdul Nasir

Perbalahan secara terbuka ibarat beri peluru,senjata kepada pembangkang

Semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak harus berbalah dan berbantah-bantah secara terbuka, saran Ketua Pemuda AMANAH Negeri Pulau Pinang, Mohd Saifullah Abd Nasir.

Beliau berkata, bantahan dan perbalahan tersebut akan memberi satu persepsi negatif kepada masyarakat seolah-olah kesatuan yang ada dalam PH tidak utuh umpama pepatah Inggeris ‘do not wash your dirty laundry in public’.

Oleh kerana itu ujarnya, situasi sebegini umpama memberi peluru atau senjata kepada pihak musuh yang begitu galak memainkan isu bangsa dan perkauman tatkala ini.

“Pemuda AMANAH Negeri Pulau Pinang mengikuti rapat perkembangan isu berkaitan serangan terhadap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik oleh beberapa pemimpin dari komponen PH.

“Adalah dikesalkan tindakan segelintir pimpinan PH tersebut seolah-olah mereka lupa dan alpa bahawa mereka adalah sebahagian dari kerajaan yang memerintah.

“Kenyataan-kenyataan mereka juga membelakangkan keputusan kabinet yang turut didokong oleh semua komponen PH serta amat tidak wajar sama sekali, ” tegasnya.

Justeru itu kata Saifullah, sebagai penyokong dan pemimpin PH, mereka seharusnya berdiri teguh dan menerima keputusan tersebut sebagai suatu keputusan bersama atas semangat setiakawan.

“Kami berkeyakinan penuh atas kepimpinan Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan dalam mengemudi reformasi sistem pendidikan secara holistik.

“Ianya bukan suatu proses mudah memandangkan sistem tersebut telah pun sebati sejak 60 tahun yang lalu.

“Maka itu semua isu-isu sedemikian tidak harus diperdebatkan serta diperkatakan secara terbuka, sebaliknya dalam ruang tertutup secara harmoni dan setiakawan, ” tambahnya lagi.