Malaysia Dateline

Perbanyak rumah mampu milik elemen penting Dasar Perumahan Negara

Pemuda AMANAH Nasional berpendapat Dasar Perumahan Negara baharu yang dirangka perlu memberi perhatian kepada elemen peningkatan kuantiti rumah mampu milik (RMM) sejajar dengan permintaan rakyat.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, harga RMM harus berada dalam lingkungan kemampuan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pada ketika ini, kebanyakan rumah di pasaran berada pada tingkat harga tinggi, walaupun dikategorikan sebagai RMM oleh pihak pemaju swasta.

“Harga rumah boleh diturunkan secara signifikan sekiranya kerajaan negeri tidak mengenakan sebarang kos atau ‘premium’ ke atas tanah yang digunakan oleh pihak pemaju untuk pembangunan RMM,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, langkah itu boleh dilaksanakan dengan berkesan menerusi pemindahan dana khas atau ‘fiscal transfer’ pada kadar yang sesuai daripada Kerajaan Pusat kepada pihak kerajaan negeri.

“Pemindahan dana berkenaan dapat membantu kerajaan-kerajaan negeri terus terlibat dalam inisiatif ini, tanpa menjejaskan hasil pendapatan mereka,” jelas peguam berkenaan.

Mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bahawa Dasar Perumahan Negara yang baharu akan diperkenalkan pada akhir tahun ini, Faiz berkata, Pemuda AMANAH berharap dasar yang menyeluruh akan digubal dengan mengambil kira masalah dan pandangan pelbagai pihak.

Katanya, satu penyelesaian secara holistik dan mapan dapat dirangka bagi mencapai matlamat ‘satu keluarga satu rumah’ jika pandangan pihak pembeli dan pemaju swasta diambil kira.

“Harga jualan rumah dan bangunan komersial di Malaysia telah melonjak naik sejak 2009 dan telah mengakibatkan ramai rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, sukar untuk membeli hartanah,” katanya.

Selain peningkatan jumlah RMM, prinsip pemilikan berhemah atau ‘responsible homeownership’ juga sebagai rukun penting dalam Dasar Perumahan Negara yang baharu dengan tidak melonggarkan syarat-syarat pinjaman perumahan hanya untuk meningkatkan penjualan RMM.

Faiz berkata, hanya individu yang layak dan berpendapatan melebihi paras gaji tertentu diberi pinjaman perumahan manakala pelaksanaan skim sewa beli rumah (rent to own housing scheme) dicadangkan untuk mereka yang tidak melepasi kelayakan gaji tertentu.

“Cadangan untuk tidak melonggarkan syarat pinjaman perumahan bertujuan untuk memastikan kadar hutang berisiko tinggi dalam institusi kewangan tempatan tidak meningkat dalam jangka masa panjang dan menjadi liabiliti kepada ekonomi negara.

“Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman Amerika Syarikat yang telah mengalami krisis ekonomi teruk pada 2008 akibat “subprime mortgage crisis”, berikutan pemberian pinjaman hutang perumahan kepada individu-individu berisiko tinggi,” jelas Faiz lagi.

Pada 20 Julai lalu, Zuraida dilapor berkata, memang sudah menjadi hasrat kerajaan baharu di Pakatan Harapan bagi memudahkan pemilikan rumah termasuk agar harga kediaman dapat diturunkan.

Katanya, kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara, Kementerian Kewangan, KWSP, pihak bank dan persatuan-persatuan pemaju dalam mengubal Dasar Perumahan Negara yang baharu.

Menurutnya, Dasar Perumahan Negara baharu yang akan diperkenal Disember ini bakal merangkumi polisi lengkap pemilikan dan pembiayaan kediaman apabila mengambil kira isu pinjaman perumahan yang menjadi masalah masyarakat.