Malaysia Dateline

Perbanyakan aktiviti pendidikan agama bentuk generasi bersahsiah, kata Harwanis

Program pendidikan berteraskan keagamaan dalam kalangan kanak-kanak perlu diperbanyakkan di negeri ini dalam usaha membentuk generasi muda yang mempunyai sahsiah dan akhlak terpuji.

Pengerusi Pertubuhan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Pakatan Harapan Melaka (Harwanis) Dalilah Awaludin berkata program seumpama itu dilihat dapat menerap dan menyuburkan rasa kecintaan kepada anak-anak sejak kecil untuk mempelajari Al-Quran dan mendalami ilmu agama.

Beliau yang juga isteri Ketua Menteri Melaka berkata dalam dunia yang serba mencabar dan tanpa batasan masa kini, ilmu agama dilihat mampu menjadi petunjuk dan pedoman kepada mereka untuk kehidupan seharian sekali gus melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

“Selain itu, ibu bapa juga perlu turut serta dan memberi komitmen dengan program-program bersama tadika anak mereka kerana mereka juga perlu berusaha untuk membentuk dan mencorakkan anak-anak untuk menjadi insan yang berguna.

Kita berharap aktiviti-aktiviti yang membawa kebaikan bersama boleh diadakan secara kerap oleh semua tadika di negeri ini kerana kita tidak mahu anak-anak ini terleka dengan kecanggihan teknologi dan hanya berdamping dengan tablet ataupun telefon pintar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kids #QuranHour Tadika Swasta Negeri Melaka, di Masjid Cina, Krubong, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Tadika Swasta Melaka, Suhaili Othman dan Imam 1 Masjid Cina, Ustaz Murad Ahmat.

Sebanyak 700 murid daripada 27 tadika swasta seluruh Melaka menyertai program kali kedua diadakan anjuran bersama oleh Unit Pendidikan Swasta Jabatan Pendidikan negeri, Persatuan Tadika Swasta Melaka dan Masjid Cina Melaka.

Program dimulakan dengan perarakan selawat, solat sunat dhuha, bacaan Surah An-Nas; Al-Falaq; Al-Ikhlas dan tadabbur, iaitu perenungan menyeluruh untuk mengetahui maksud dan makna dari suatu ungkapan di dalam al-Quran secara mendalam, surah Al-Kafirun.

Sementara itu, Suhaili berkata program itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada murid-murid tentang kepentingan membaca al-Quran dan mentadabbur maksud ayat serta mengalunkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW di samping memupuk nilai murni dengan aktiviti berilmiah untuk generasi muda.- BERNAMA