Malaysia Dateline

Perbezaan antara kaum perlu dirai

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa perbezaan antara kaum perlu dirai dan bukan dijadikan faktor yang menjarakkan jurang antara rakyat negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata perbezaan itulah yang menjadikan Malaysia ini unik, lebih indah dan berwarna-warni.

“Sebenarnya banyak ruang persamaan dan kerjasama yang boleh kita fikir dan laksana daripada hanya disibukkan dengan perbezaan antara kita,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu Parlimen Pandan di sini, malam ini.

Ini, katanya, sepertimana majlis malam ini yang dihadiri pelbagai kaum dan agama, merupakan manifestasi suasana harmoni yang perlu terus dipelihara, dihargai dan dihayati oleh semua generasi bangsa Malaysia.

“Walaupun kita berbeza budaya, adat, kepercayaan, agama, pandangan dan pelbagai lagi, namun ia tidak seharusnya menjarakkan jurang antara kita,” katanya.

Sempena tahun baharu ini, Dr Wan Azizah menggesa rakyat agar memulakan azam baharu, bermuhasabah dengan mengubah diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara untuk menjadi lebih baik, berdaya saing, ke hadapan dan lebih berjaya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyuarakan kebimbangan dengan pesta golongan remaja yang sering dikaitkan dengan sambutan tahun baharu sehingga ada yang terlanjur sehingga melahirkan bayi.

“Sembilan bulan dari sekarang, akan mulalah terpampang di akhbar-akhbar tentang kejadian remaja membuang bayi yang semakin meningkat kerana aktiviti-aktiviti yang tidak sihat pada sambutan perayaan seperti tahun baharu dan sebagainya.

“Anak-anak remajaku sekalian, marilah kita hapuskan perbuatan-perbuatan sedemikian. Jika sudah terlanjur, janganlah pula terus menambah kesilapan kerana setiap masalah ada jalan penyelesaiannya,” katanya.

Beliau merayu para remaja yang memerlukan pertolongan dalam kes sedemikian supaya menghubungi talian Kasih di 15999, berjumpa dan berbincang dengan kaunselor atau pergi ke rumah-rumah perlindungan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau menghantar bayi tersebut ke pusat-pusat “baby-hatch” dan yang seumpamanya.

“Walaupun seruan saya ini pernah dipandang sinis dan dikecam oleh sesetengah pihak sebagai menggalakkan anak-anak muda melakukan dosa, mereka perlu sedar bahawa gerakan membendung dan merawat hendaklah seiring,” katanya.

Terdahulu beliau hadir memberikan sokongan kepada kempen Street Dakwah sempena sambutan Malam Tahun Baru 2019 di sekitar KLCC malam tadi.

Beliau meluangkan masa lebih setengah jam beramah mesra bersama 50 sukarelawan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mengangkat pelekat dan mengedarkan risalah yang membawa mesej-mesej keharmonian kepada orang ramai.

Kempen yang dimulakan sejak awal malam itu adalah salah satu usaha mendekati golongan muda dalam memberikan mesej kesedaran supaya tidak terlibat dengan masalah sosial seperti pergaulan bebas, seks dan pembuangan bayi selain memupuk kecintaan kepada nilai-nila murni.

Dr Wan Azizah berkata kempen itu adalah salah satu cara usaha pencegahan dengan memberikan kesedaran kepada golongan muda melalui program turun padang supaya tidak terjebak dengan masalah sosial.

“Kita tahu jiwa anak muda sentiasa mahu mencuba, mahu melakukan eksperimen yang boleh menyebabkan mereka terdedah dan terjebak dengan masalah sosial.

“Jadi kempen ini salah satu bentuk pencegahan melalui hebahan kepada orang ramai supaya mereka sedar tentang risiko itu dan mereka tahu bantuan yang boleh diterima sekiranya terlibat seperti menghubungi talian kasih 15999, ” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha.- Bernama.