Malaysia Dateline

Perbezaan bukan melemahkan, tetapi itu kekuatan kita

Kebanyakan kita takut untuk berbeza. Berbeza dengan majoriti menjadikan kita minoriti, kalau bukan abnormal. Berbeza pandangan dengan sahabat yang akrab menjadikan hubungan kita renggang, kalau bukan tegang. Kumpulan majoriti tidak selesa dengan perbezaan kerana gagal mendominasi sepenuhnya. Kumpulan minoriti pula takut dengan perbezaan kerana khuatir dirinya didominasi sepenuhnya. Pendek kata, perbezaan menimbulkan rasa tidak senang dan rasa tidak selamat untuk semua pihak.

Pada masa yang sama, kita terpaksa akur bahawa hakikatnya manusia akan berbeza. Kita dilahirkan berbeza, dan kemudian mendewasa dengan pengalaman yang berbeza. Kalau bukan berbeza dari segi warna kulit, kita akan berbeza dari segi agama. Jikapun berkongsi warna kulit dan agama yang sama, kita mungkin berbeza dari segi pegangan politik. Malah jikapun berkongsi wadah politik yang sama, kita mungkin berbeza dari segi jalur politik, pendekatan, strategi, kepentingan dan sebagainya.

Justeru, adalah satu mitos bahawa manusia boleh disamakan atas apa alasan sekalipun. Paling kerap perpaduan menjadi alasannya. Namun seandainya isu ini dikupas selapis demi selapis untuk apa manusia disamakan? Untuk apa manusia disatukan? Untuk apa perpaduan itu? … kita akan mendapati bahawa ianya sekadar satu mitos, yang tidak memberi makna sebagaimana yang diuar-uarkan. Perpaduan yang dilaungkan, kebanyakan masanya berkhidmat untuk kepentingan politikus.

Tetapi rakyat Malaysia telah membayar harga yang tinggi untuk mitos ini. Bumi ini menjadi titik pertemuan beberapa tamadun besar Islam, India dan China, selain kesan peninggalan penjajah British dari Barat. Unsur-unsur ini seandainya diadun dengan baik, sudah tentu menjadi keistimewaan yang menarik. Malangnya, untuk sekian lama kita berselisih sesama diri dengan prejudis, syak-wasangka masing-masing, sehingga kekuatan dan kelebihan ini dijadikan kelemahan dan kekurangan.

Malaysia adalah bumi yang unik. Cuba kita ambil contoh pembelajaran bahasa. Umum bersetuju bahawa suasana adalah faktor penting dalam pembelajaran sesuatu bahasa. Seandainya kita mahu belajar bahasa Tamil, dengan senang kita boleh mendapatkan rakan India yang fasih dalam Tamil di sekeliling kita. Begitu juga dengan bahasa lain. Lebih penting, hampir semua daripada kita memiliki bahasa bersama yang memudahkan kita untuk berkomunikasi dan menyampaikan makna.

Kelebihan ini boleh dirasai apabila kita berada di luar negeri. Pernah saya terkelu lidah apabila menggunakan perkhidmatan seorang pemandu di Bangkok, kerana kedua-dua kami tidak memiliki bahasa bersama. Pengalaman yang kekok ini juga berlaku di Jepun, sebuah negara maju, apabila saya berada dalam restoran. Pada saat-saat sebegini, saya akan merindui Malaysia. Seburuk mana bahasa Inggeris rakyat Malaysia pun, orang kita masih boleh memahami istilah-istilah asas untuk komunikasi, kalaupun tidak boleh bertutur.

Dengan kelebihan ini, sepatutnya Malaysia menjadi destinasi pelancongan seluruh dunia. Bukan sahaja pelancongan, tetapi juga pusat pendidikan, perdagangan, terjemahan dan sebagainya. Kemudahan bahasa sesungguhnya pelincir kepada proses urusan harian. Ia bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi juga teropong untuk kita meninjau dunia yang berbeza.

Malangnya, untuk sekian lama, kita terkurung dalam tembok dunia masing-masing, atau dengan kata lain, terperangkap dalam prejudis masing-masing. Kita menganggap bahasa dan budaya masing-masing adalah satu-satunya yang termulia di dunia. Sikap ini yang menebalkan tembok di antara kita. Kaum majoriti diragui akan menghapuskan bahasa dan budaya kaum minoriti, sementara kaum minoriti juga menolak bahasa dan budaya kaum majoriti, sebagai penentangan terhadap hegemoni. Sikap saling menghayati itu tidak disuburkan. Umpana pertandingan tarik tali, kesudahannya hanyalah sama ada menang, ataupun kalah. (Paling dahsyat, kedua-dua pihak kalah dalam hal ini.)

Dalam konteks ini, forum Bahasa Jiwa Bangsa anjuran bersama Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN) pada malam 21 November amatlah bermakna. Tidak keterlaluan apabila Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek mengumpamakan acara ini sebagai upacara pecah tanah, dalam ucapan perasmian beliau.

Untuk sekian lama Dong Zong dianggap sebagai kumpulan chauvinis dari kaca mata masyarakat Melayu. Di samping itu, masyarakat bukan Melayu tidak pernah memandang DBP sebagai institusi bahasa untuk seluruh rakyat Malaysia. Namun, dalam suasana Malaysia Baharu, kedua-dua badan ini bersetuju untuk duduk semeja dan mencari muafakat untuk masa depan. Kedua-dua pihak mengakui keperluan aktiviti silang budaya antara kaum. Pihak Dong Zong bersetuju untuk memartabatkan bahasa Melayu, sementara pihak kerajaan mengiktiraf kepelbagaian sebagai kelebihan masyarakat Malaysia.

Saya tidak pasti sejauh mana kita boleh pergi dalam hal ini. Namun, apa yang penting, kita mula melihat perbezaan itu tidak semestinya perlu berakhir dengan permusuhan, dan kepelbagaian itu harus menjadi kekuatan dan kelebihan Malaysia. Apa yang pasti, pendekatan konfrontasi selama 61 tahun lalu gagal menyelesaikan masalah kita. Moga-moga, pendekatan muafakat yang dimulakan ini, menghakis rasa tidak selamat yang terpendam dalam hati, dan berakhir dengan keadaan menang-menang untuk semua pihak.