Malaysia Dateline

Perbezaan, kepelbagaian harus diterima dengan sikap positif, kata TPM

Perbezaan dan kepelbagaian harus diterima seadanya dengan sikap positif dan optimistik, supaya manusia saling mengenal, melengkapi dan menjalin kerjasama yang harmonis antara satu sama lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail berkata, memuliakan manusia atas sifat kemanusiaannya tanpa mengira agamanya, adalah satu tuntutan keagamaan.

“Ia adalah sebahagian daripada kewajipan melaksanakan sunnah Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhariy daripada Jabir ibn Abdillah bahawa, Junjungan SAW berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi.

“Kepelbagaian juga adalah sunnatullah dalam penciptaan makhluk,” katanya dalam ucaptama sempena Majlis Perasmian Karnival Rahmah 2019 (KR19) yang diadakan di Dataran Putrajaya hari ini.

Karnival yang disempurnakan oleh beliau itu bertujuan menyebarkan kefahaman kepada umat Islam dan penganut agama lain bahawa Islam adalah agama harmoni dan menghormati semua tanpa mengira agama dan kaum.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail.

Berhubung KR19 yang bermula pada hari ini, Dr Wan Azizah berharap berharap, ia dapat menyemai rasa kasih sayang sesama masyarakat, serta dapat menjauhkan daripada sifat permusuhan dan benci-membenci.

Katanya, ia seterusnya dapat memupuk rasa cinta terhadap junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.

“Saya difahamkan bahawa karnival ini adalah untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama yang mana amat bertepatan dengan tema Karnival Rahmah pada kali ini iaitu ‘Rahmah untuk Semua’.

“Rahmah adalah kata kunci yang merumuskan segala objektif syari‘at (maqasid al-shari‘ah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahah (kepentingan) kemanusiaan.

“Kita dapat lihat banyak masalah akan timbul ekoran tidak wujudnya persepakatan padu di antara kaum.

“Keamanan yang kita nikmati hari ini hendaklah disyukuri. Tanggungjawab mengekalkan keadaan ini mestilah dipikul oleh setiap rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Program yang berlangsung sehingga Ahad ini antara lain bertujuan merakyatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin atau rahmat ke seluruh alam untuk memberi pendedahan kepada rakyat pelbagai agama dan kaum untuk menghayati gagasan pentadbiran Islam yang dibawa kerajaan.

Hampir 30 aktiviti menarik disediakan khas kepada para pengunjung yang merancang untuk datang ke karnival berkenaan.

Antara aktiviti yang disediakan adalah karnival kanak-kanak, pesta buah-buahan, Program Jawi Food Bank, Pertunjukkan Paragliding, Sukan Rahmah, Eco Alami Ride dan banyak lagi program menarik.