Perbezaan pendapat sepatutnya diraikan

Perbezaan pendapat sepatutnya diraikan

Manusia adalah makhluk yang boleh berfikir dan mempunyai buah fikiran yang berbeza-beza. Sekiranya kita hanya memilih untuk berkawan dengan orang yang berfikiran sama seperti kita sahaja dan menganggap semua orang lain sebagai musuh, nescaya kita akan dapati diri kita sebagai sebuah pulau kecil dengan beberapa orang kawan dikelilingi oleh lautan musuh.

Allah swt tidak mencipta manusia dengan kemerdekaan berfikir untuk kita saling bermusuhan. Malahan kelainan dalam cara berfikir, minat, kecenderungan, skil dan keupayaan sepatutnya menjadi asbab untuk kita memenuhi naluri kemanusiaan kita yang sentiasa ingin tahu untuk saling berhubung, kenal mengenal, bersahabat dan bantu membantu sesama kita.

Maka dengan cara inilah fitrah semulajadi manusia akan mendorong kita menjadi khalifah yang mampu mentadbir dunia ini dengan baik.

Justeru itu perbezaan pendapat dan buah fikiran sesama kita sepatutnya diraikan dan disyukuri. Ianya adalah nikmat dan anugerah Allah kepada kita. Namun seperti mana nikmat dan anugerah lain yang Allah kurniakan kepada kita, jika kita tidak menguruskannya dengan baik, nikmat itu boleh memudharatkan kita.

Sebarang tuntutan untuk seluruh mahupun sekelompok besar manusia berfikir dengan cara yang sama adalah bertentangan dengan naluri semulajadi manusia ciptaan Allah itu sendiri.

Tamadun besar manusia dikecapi oleh masyarakat yang dapat menguruskan pelbagai jaluran pemikiran, kefahaman, pegangan dan kepercayaan dalam masyarakat itu. Kegagalan mengurus tadbir dengan baik pelbagai macam perbezaan pandangan dalam sesuatu masyarakat itu lazimnya akan memudharat dan merosakkan masyarakat tersebut sehingga jika terlalu parah akan menjadi punca perpecahan ataupun kemusnahan masyarakat itu sendiri.

Satu faktor besar dalam pengurusan perbezaan pendapat adalah ‘Komunikasi’. Dalam era modern hari ini sebaran dan pertukaran pendapat berlaku dalam skala besar dan kelajuan pantas terutama melalui media sosial dan internet. Kegagalan dalam pengurusan komunikasi yang baik boleh menjerumus masyarakat itu ke dalam kancah perpecahan dalaman.

Kita lihat betapa air yang lembut memainkan peranan besar mencorakkan bentuk mukabumi. Begitulah juga buah fikiran yang bernas disampaikan melalui komunikasi yang lemah-lembut, berhikmah, menarik, penuh dengan suntikan rasa kasih sayang, sopan-santun, peduli dan hormat-menghormati dapat mengunjurkan pembentukan masyarakat yang cenderung untuk menuruti nilai-nilai fikiran yang bernas itu.

Dalam masa yang sama penolakan buah fikiran itu tidaklah sampai menimbulkan ketegangan sehingga kepada peringkat berlakunya perpecahan, permusuhan ataupun kerosakan dalam masyarakat tersebut.

Maka itu sebaiknya kita mengelak daripada menggunakan kata-kata yang bersifat cacian, kata nista, maki-hamun, ejekan, celaan, penghinaan dan seumpamanya semasa kita berkomunikasi untuk mengenengahkan idea dan fikiran kita.

Saya melihat bahan atau penulisan yang saya poskan dimedia sosial misalnya mendapat ulasan dan komentar yang pelbagai oleh rakan-rakan saya sendiri samada rakan daripada bangku sekolah, universiti mahupun setelah zaman universiti yang saling berbeza-beza pendapat antara sesama mereka. Yang menyedihkan adalah apabila ada diantara mereka menggunakan kata-kata yang tidak sewajarnya seperti tersebut dalam perenggan di atas.

Apakah kita tidak boleh bersahabat dan menyantuni satu sama lain kecuali dengan orang-orang yang sama aliran pemikiran dengan kita sahaja? Jika demikian halnya, maka dunia ini akan menjadi sempit dan kecil buat kita.

Saya amati keadaan kita sekarang sangat menyedihkan kerana perkara paling asas dalam berkomunikasi pun tidak kita junjung dan pelihara lagi. Islam mengajar kita menghormati dan menyantuni sesama manusia dengan memanggil dan memberi nama yang baik kepada kenalan kita.

Pemberian nama adalah hak kepada batang tubuh untuk menamakan dirinya. Saya menyeru kepada kita semua untuk sekurang-kurangnya menjaga adab sopan-santun dengan mengiktiraf dan menggunakan nama yang dipilih oleh pihak batang tubuh itu sendiri dalam komunikasi sesama kita.

Nama parti saya adalah Parti Amanah Negara (Amanah). Nama singkatan rasmi seperti diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan adalah Amanah. Namun sehingga hari ini terutama dikalangan pihak PAS, daripada pimpinan tertingginya hinggalah ahli di bawah, saya belum berjumpa seorangpun yang memelihara adab yang paling asas tersebut.

Ada dikalangan ahli Amanah yang tidak dapat menahan sabar dan akhirnya membalas dengan memanggil Pas dengan nama-nama yang berbentuk ejekan. Akhirnya masing-masing saling membalas ejekan. Fenomena ini begitu berleluasa sekali.

Ada ahli Pas yang mengatakan kepada saya bahawa saya adalah ahli Amanah yang tidak mengejek Pas tetapi dalam berbicara dengan saya beliau tetap tidak membalas penghormatan yang saya berikan kepada partinya dengan tetap memanggil parti saya mengikut panggilan ejekan yang diguna luas oleh Pas hari ini.

Wahai sahabat-sahabat sekalian. Sekiranya perkara asas penggunaan nama yang sebenar dan sebetulnya pun tidak dapat kita pelihara adab, tata-tertib dan kesopanannya, apatah lagi bermacam-macam perkara lain yang berturutan selepas itu?

Saya dengan ini menyeru kepada semua pihak, marilah kita bersama-sama perbaiki perkara asas ini sebagai langkah permulaan untuk perbaiki bidang komunikasi dan cara kita berinteraksi sesama kita. Mudah-mudahan Allah swt masih mengasihi dan mempedulikan kita dan melimpahkan petunjuk dan hidayah kepada kita untuk menjadi hambaNya yang beriman dan bertakwa.

* Mazwan Bin Johar adalah Ketua Amanah  Serdang.

CATEGORIES