Perbicaraan Johnny Depp, Amber beri perspektif baru kepada orang Malaysia

Oleh NASUHA RAHMAN

Proses perbicaraan Johnny Depp dan Amber Heard ini barangkali memberikan perspektif baru kepada orang Malaysia betapa amat penting untuk mahkamah ini dilihat bebas daripada sebarang pengaruh. Sebab itu, proses Mahkamah perlu terbuka.

Keterbukaan Mahkamah di Amerika Syarikat yang menyiarkan setiap sesi ini secara langsung amat menakjubkan.

Entah bila sistem seperti ini akan dibuat di Malaysia. Bayangkan jika kita dapat melihat secara live bagaimana Dato’ Sri Najib Tun Razak atau Dato’ Sri Zahid Hamidi memberikan keterangan di Mahkamah dan kemudiannya disoal balas oleh peguam.

Berbalik kepada kes pelakon Johnny Depp, barangkali petikan kata-kata ini adalah yang terbaik untuk menjelaskan proses Mahkamah. “Veritas numquam perit” – Petikan ini dikatakan berasal daripada seorang ahli falsafah Rom bernama Senenca (mati 65 AD). Perkataan ini memberikan maksud bahawa suatu kebenaran itu tidak boleh lari dan lambat laun akan muncul juga pada akhirnya.

Bagi penganut agama Islam, mesej yang ingin disampaikan dalam frasa ini mudah untuk difahami disebabkan kepercayaan dan iman kepada qada’ dan qadar dan kepercayaan kepada kebangkitan pada hari kiamat.

Kepercayaan kepada kehidupan selepas kematian serta berlaku hisab perhitungan amalan baik dan buruk menyebabkan orang Islam lebih tenang hidupnya. Jika di dunia ini tidak terzahir kebenaran itu pasti di hari kiamat akan terzahir jua.

Kalimat ini pun selari dengan apa yang dipetik daripada ayat Al-Quran: وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا (Dan katakanlah: “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap”. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.) – Al-Isra’: 81

Bagi penganut agama lain atau seorang ateis yang tidak percayakan kepada kebangkitan semula selepas kematian pun percaya kepada kalimat yang diucapkan itu.

Sebab itu, Johhny Depp mengungkapkan perkataan itu yang menunjukkan beliau percaya kebenaran akan mengatasi kebatilan.

Bagi seorang peguam, beliau pasti percaya bahawa Mahkamah adalah proses yang terbaik untuk mengenal mana yang palsu dan mana yang benar.

Ini kerana proses Mahkamah ini melibatkan ramai saksi dan keterangan plaintif dan defendan. Keterangan mereka ini boleh disoal balas dan semasa sesi soal balas itu hakim boleh menilai sama ada keterangan yang diberikan itu benar atau bercanggah dengan keterangan lisan atau dokumentar yang lain.

Bukannya tidak ada kes pemalsuan keterangan saksi atau bukti. Tetapi hal sebegitu tidaklah begitu berleluasa.
Dalam undang-undang keterangan Islam pun ada bab yang mengajar bagaimana untuk mengendalikan شهادة الزور (syahadatul zurr) atau kesaksian palsu. Undang-undang sivil pun ada bab ‘perjury’.

Pastinya ianya satu hal yang patut difikirkan. Begitu juga di Mahkamah Syariah sepatutnya mendahului Mahkamah Sivil dalam hal keterbukaan ini.

Perbicaraan Johnny Depp, Amber beri perspektif baru kepada orang Malaysia
Dr Zulqarnain Lukman

Sekarang ini Mahkamah Sivil sudah membuat rekod video tetapi rekod video itu tidak boleh disebarkan sesuka hati.
Mahkamah Syariah masih lagi bergantung kepada nota hakim. Penggunaan nota hakim ini lebih mudah untuk berlaku kecuaian semasa merekodkan keterangan berbanding dengan rekod video kerana nota hakim ini direkodkan oleh manusia. Bayangkan bagaimana hakim ingin menulis dan mendengar keterangan pada satu masa. Tambahan pula, saksi itu bercakap dalam keadaan cepat.

Hal ketelusan Mahkamah ini patut menjadi satu agenda bagi mana-mana parti politik yang bertanding. Tidak guna kalau sekadar membaca kitab fiqh sahaja atau berceramah berdegar-degar tetapi hal penting seperti ini tidak pernah difikirkan walaupun orang itu sudah mempunyai kuasa sebagai seorang menteri.

Kita boleh bayangkan kenapa masih ramai curiga dengan undang-undang hudud dan qisas kerana hal-hal seperti ini patut ditekankan.

Kalau dinaikkan hukuman melalui RUU355 yang pernah dibuat usul persendirian pada tahun 2015 dahulu pun (sekarang ini sudah senyap sunyi walaupun sudah jadi Menteri dan Duta Khas selama 27 bulan) tetapi infrastruktur Mahkamah Syariah tidak ditambahbaik maka ianya hanya akan menjadi bahan lelucon sahaja.

Sebab itu, para agamawan tidak boleh sedap mulut aja menuduh orang menolak hudud dan qisas dan melabelkan orang yang tidak bersetuju itu sebagai menentang Islam kalau masalah yang sedia ada yang kecil dan titik bengik yang masih melingkari ekosistem Mahkamah Syariah pun masih gagal ditangani.

Kadang kala kita pun pelik kenapa hendak buat yang susah dahulu sedangkan yang senang dibuat pun masih lagi tidak mampu dibuat.

Baca juga: Johnny Depp luah 6 tahun dia dibenci keluarga, peminat kerana fitnah bekas isteri

Baca juga: Identiti dua mayat dalam MPV dikenalpasti