Malaysia Dateline

Perbincangan dengan kerani tiket Melaka Sentral Isnin ini

Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan melibatkan tiga pihak iaitu Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB), kerani tiket bas dan syarikat bas pada Isnin ini bagi meredakan kebimbangan kerani bas akan hilang punca pendapatan setelah Melaka Sentral dinaik taraf.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata pihaknya telah mengarahkan MSSB memanggil semua pihak terlibat iaitu kerani tiket dan syarikat bas bagi melakukan pertemuan serta perbincangan.

“Kita sedar dengan masalah yang mereka (kerani tiket) hadapi dan semua pihak perlu duduk semeja bagi membincangkan hala tuju dan mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ini agar tidak ada pihak yang akan teraniaya nanti,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini kira-kira 60 kerani sistem jualan tiket secara konvensional Terminal Melaka Sentral di sini memohon pembelaan daripada kerajaan negeri kerana bimbang hilang mata pencarian apabila tidak diberi peluang meneruskan perkhidmatan mereka yang berakhir hujung bulan ini.

Rintihan kumpulan tersebut mendapat perhatian Ketua Menteri, Adly Zahari yang berjanji akan mengkaji semula terma perjanjian membabitkan kedua-dua belah pihak selain mendapatkan maklumat daripada pihak terlibat.

Mohd Sofi berkata pihak kerajaan sedar akan masalah yang dihadapi oleh kerani tiket namun kerja menaik taraf kepada Sistem Tiket Berpusat (CTS) wajar diteruskan agar penjualan tiket bas dapat dilakukan dengan cara yang lebih baik bagi mengelak berlakunya masalah seperti penjualan tiket palsu dan ulat tiket.

— BERNAMA