Malaysia Dateline

Perbincangan selesai, PH umum agihan kerusi di Melaka

Rundingan pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah selesai diputuskan, kata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perbincangan agihan kerusi telah melalui satu proses yang panjang dan akhirnya dipersetujui semua pihak.

PH memuktamadkan untuk DAP kekal bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), AMANAH sembilan kerusi, manakala PKR 11 kerusi.

“Kita telah memutuskan untuk menyelesaikan dan memuktamadkan (agihan kerusi DUN dan Parlimen). Setakat ini keputusan kita adalah jumlahnya DAP lapan (kerusi DUN), AMANAH sembilan, PKR 11.

“Kita juga bincang jangka panjang di dalam pembahagian Parlimen. Keadilan dua kerusi, AMANAH juga dua kerusi seperti yang dipertandingkan dulu.

“DAP tambah satu lagi kerusi iaitu Alor Gajah sebab itu kawasan tradisional (DAP) tetapi sebelum ini ditandingi oleh Bersatu. Jadi kita kembalikan kepada DAP,” katanya dalam sidang media hari ini.