Perbincangan tidak rasmi UNSC berkaitan isu Kashmir berakhir secara aman

Perbincangan tidak rasmi UNSC berkaitan isu Kashmir berakhir secara aman
Pembatalan Perkara 370 telah dibincangkan dalam mesyuarat tertutup bincang isu hak asasi manusia di Kashmir.-Foto Live Law

Pembatalan Perkara 370 berkaitan status istimewa Kashmir oleh kerajaan India telah dibincang pada Jumaat secara tidak rasmi dalam satu mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meskipun ramai pakar berkata isu itu telah berakhir, sekurang-kurangnya buat masa ini, secara aman.

Mesyuarat tertutup UNSC telah dicadangkan China atas permintaan Pakistan.

Disokong oleh China, anggota tetap UNSC, Pakistan telah menulis kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membangkitkan isu pembatalan Perkara 370 itu di satu mesyuarat rasmi UNSC. Bagaimanapun, isu itu sebaliknya telah dibincang dalam satu mesyuarat tertutup UNSC.

Meskipun Pakistan menggambarkan mesyuarat UNSC itu adalah satu “kejayaan,” tiada bukti bagi menunjukkan perkara tersebut.

Wakil tetap Pakistan ke PBB, Maleeha Lodi, menghadiri mesyuarat UNSC itu untuk mengucapkan terima kasih kepada anggota UNSC atas sokongan mereka kepada penduduk Kashmir.

“Suara penduduk Kashmir, orang yang tinggal di Kashmir telah didengar hari ini dalam forum diplomatik tertinggi dunia,” katanya.

Terdahulu, wakil tetap China ke PBB, Zhang Jun, telah mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan pendirian China berhubung isu itu.

“Mereka (anggota UNSC) juga bimbang dengan situasi hak asasi manusia di sana dan berpendapat pihak terbabit perlu mengelak mengambil sebarang tindakan secara unilateral yang mungkin memburukkan lagi keadaan di sana,” kata Zhang.

Sementara itu, Amerika Syarikat, Perancis dan Republik Dominika telah membantah keras cadangan membincangkan isu Kashmir meskipun secara tidak rasmi dalam mesyuarat UNSC.

Wakil tetap India, Syed Akbaruddin, menyangkal dakwaan Pakistan dan berkata isu Kashmir adalah isu dalaman India selain menambah bahawa Pakistan telah mencampuri isu dalamannya serta mengelirukan dunia.

Akbaruddin berkata Perkara 370 “tidak mempunyai kesan luar dan pendirian kami ialah ia adalah isu dalaman India.”

Beliau berkata situasi di Jammu dan Kashmir kini “beransur pulih seperti biasa dan perubahan dalaman tidak akan mengubah orientasi luaran. Kami komited terhadap semua perjanjian yang telah dimeterai berhubung isu ini,” katanya.

Akbaruddin juga berkata keputusan kerajaan India adalah bertujuan bagi menggalakkan tadbir urus baik dan pembangunan di Jammu dan Kashmir.

“India kekal komited dalam memastikan bahawa situasi di Jammu dan Kashmir tetap tenang dan aman,” katanya.

Akbaruddin, yang pernah dihantar bertugas di Pakistan, berkata “saya telah menganggotai banyak delegasi ke Islamabad. Terdapat cara biasa untuk menanganinya namun tiada demokrasi akan mengiktiraf anda jika anda menggunakan keganasan untuk mencapai matlamat anda. Hentikan keganasan untuk memulakan perbincangan.”– BERNAMA