Malaysia Dateline

Perbincangan tindakan sivil tanah Orang Asli sejak Oktober lepas, kata JKOAK

Perbincangan dengan wakil Peguam Negara dan Badan Peguam Malaysia berhubung tindakan sivil untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang telah dilakukan sejak Oktober tahun lepas.

Presiden Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along berkata kenyataan pihak tertentu bahawa isu itu sengaja dibangkitkan untuk kepentingan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands adalah kenyataan yang tidak berasas.

“Tindakan ini telah dirancang sebelum PRK Cameron Highlands dan adalah tidak wajar sekiranya perkara ini dipolitikkan bagi kepentingan sesetengah pihak kerana ianya melibatkan kepentingan masyarakat Orang Asli,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kelmarin, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam memetik Peguam Negara Tommy Thomas berkata bahawa Jabatan Peguam Negara turut memfailkan injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Mustafa juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas tindakan itu yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara dan sepatutnya dilakukan oleh pimpinan kerajaan terdahulu memandangkan perkara yang melibatkan kepentingan dan kebajikan Orang Asli berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Isu ini telah berlarutan sejak 2011 dan menjadi semakin tegang sejak 2015 apabila masyarakat Orang Asli di sekitar Gua Musang mula mendirikan sekatan.

Ia bermula apabila Kerajaan Negeri Kelantan mula melaksanakan Program Pembangunan Ladang Rakyat pada 2006, yang mana projek ini telah mengambil banyak tanah adat Orang Asli di sekitar Gua Musang,” katanya.

– BERNAMA