Malaysia Dateline

Perbualan pribadi dirakam: Apakah Malaysia masih selamat, tanya MKT Umno

Berikutan terdedahkan rakaman perbualan yang didakwa antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno bertanya, apakah Malaysia negara selamat apabila perbualan pribadi boleh dirakam dan diviralkan.

“Apabila viral rakaman perbualan antara Zahid dan Anwar Ibrahim, itu angkara siapa?

“Kalau ia tulin, apakah Malaysia negara selamat apabila perbualan peribadi dirakam dan diviral?” kata Datuk Puad Zarkashi menerusi facebooknya hari ini.

Perbualan telefon antara dua orang yang suaranya mirip Anwar dan Zahid Hamidi mula tersebar sejak semalam.

Perbualan itu dikatakan berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.

Sebelum ini, pihak musuh Zahid sentiasa menekan beliau apakah ada rundingan antara Umno dengan PKR melalui Anwar Ibrahim.

Dalam PAU itu, Zahid menegas “No Anwar, No DAP dan No Bersatu”.

Bagi Puad, tulin atau tidak rakaman ini, sudah tentu rakaman itu bermotif politik apabila ia diviralkan.

“Darurat sepatutnya untuk kurangkan politiking tetapi rupanya semakin bermaharajalela,” kata beliau lagi.

Katanya, butiran perbualan itu adalah cukup jelas dan berkualiti tinggi.

Bagi beliau, ia mesti menggunakan peralatan canggih yang orang biasa tidak akan mampu memilikinya.

“Apakah ini konspirasi “at the highest level”. Ini bukan kerja calang calang?” kata bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN sebelum ini.

Beliau berkata, sepatutnya pihak-pihak tertentu belajar kesan dari pendedahan rakaman perbualan antara Najib dengan Putera Mahkota United Arab Emirate (UAE) sebelum ini.

“Kita masih ingat apabila Latheefa Koya dedah perbualan antara Najib dengan Putera Mahkota UAE. Tidakkah kita mahu belajar dari kesilapan.

“Hingga ke hari ini sejak 2018, UAE tidak lagi datang melabur di Malaysia. UAE melabur hampir RM130 Bilion ke Indonesia.

“PM tentu ada penjelasan kenapa balik tangan kosong dari lawatan ke UAE baru baru ini?” kata beliau.

Bagi belau, sekali lagi Kerajaan PN terselamat kerana Parlimen tidak bersidang untuk beri peluang kepada MP pembangkang bangkitkan isu ini.

“Sekurang kurangnya ahli parlimen boleh desak supaya ditubuhkan RCI dan SKMM menyiasat perkara serius ini untuk mencari kebenaran,” kata beliau.

Katanya, ternyata skandal merakam perbualan peribadi terutama yang libatkan lawan politik adalah “hari hitam” kepada demokrasi di Malaysia.

Presiden Nixon, katanya, letak jawatan kerana skandal Watergate 1972.

“Ia berlaku apabila Pejabat parti Demokrat diceroboh untuk curi maklumat dan alat perakam telefon dipasang,” katanya.

Bagi bekas timbalan menteri itu, politiking keji tidak akan berakhir.

“Wujudnya kluster lompat dan merakam perbualan telefon adalah natijah kerana kerajaan hari ini tidak ada majoriti jelas,” katanya.