“Perbuatan khurafat yang amat dahsyat” – Dr Maza ulas isu kepercayaan pengikut GISBH

Oleh WAN SITI AMINAH

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan kepercayaan pengikut Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) bahawa terdapat keberkatan pada tubuh badan guru mereka adalah perbuatan khurafat yang amat dahsyat.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Dr. Maza itu berpendapat bahawa pengikut organisasi terbabit bukan sahaja sesat malah tidak bijak dalam membezakan antara perkara yang benar dan salah di sisi agama.

Jelasnya walaupun Al-Arqam sudah lama difatwakan sesat, namun asas penubuhan semula kumpulan tersebut yang masih mengekalkan kepercayaan berbaur pemujaan terhadap tokoh adalah sama.

“Saya tanya kepada ahli dia yang terbabit itu. Berulang kali saya tanya hal ini dan sekarang ini kita tengok yang keluar (ahli GISBH) semua mengaku benda sama.

“Janggut, air basuhan kaki, basuhan tisu. Kultus ni mempunyai kepercayaan bahawa guru mereka mengandungi satu keberkatan pada tubuh mereka. Khurafat yang begitu dahsyat,” katanya.

Dr Maza berkata demikian dalam satu sesi audio siar atau ‘podcastKeluar Sekejap (KS) dikendalikan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan yang dimuat naik di platform Youtube.

Menurut Dr Maza, meskipun unsur mengagungkan tokoh agamawan ini sudah lama diamalkan dalam masyarakat Melayu namun ia tidak boleh dilakukan secara berlebih-lebihan.

“Kalau sekadar (mengagungkan agamawan) dengan ringan-ringan sahaja sebagai contohnya, ‘mengambil keberkatan enta Sheikh’, ia tidaklah sampai kepada tahap melampau.

“Tetapi kalau sampai menganggap dengan ‘awak minum air ini, akan diberi kekuatan’ atau ‘dengan tongkat yang diberikan oleh Abuya ini terdapat satu kuasa yang dapat menghancurkan kuasa-kuasa besar lain’.

“Ianya bukan sahaja soal sesat, tetapi soal bodoh,” ulasnya yang turut menegaskan bahawa terdapat dua sistem atau perkara di mana ia akan mencorakkan agama seseorang iaitu kepercayaan dan amalan.

Mengulas lanjut, Dr Maza memaklumkan bahawa amalan salah tetapi tidak diikuti dengan kepercayaan, seseorang itu tidak akan menjadi sesat namun jika kepercayaannya sudah salah, individu terbabit akan menjadi sesat meski tiada amalan.

Baca juga: Sanggup jadi isteri sementara demi duit, wanita kahwini hampir 15 pelancong asing