Malaysia Dateline

Perbuatan vandalisme pam air punca banjir di Stadium Shah Alam

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengesahkan bahawa perbuatan vandalisme terhadap pam air menjadi  punca berlakunya  banjir kilat di pekarangan Stadium Shah Alam pada 27 Okt lepas.

Datuk Bandar Shah Alam  Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata pemeriksaan mendapati  komponen pam air itu seperti  genset, bateri dan kabel dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini menyebabkan pam air yang  dipasang untuk tujuan pencegahan banjir tidak dapat beroperasi.

“Susulan kejadian itu, pihak MBSA  telah membuat tiga laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung insiden  kecurian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sebelum ini MBSA telah memasang pam air dan membina kolam takungan di lokasi strategik atau tempat pelepasan air di sekitar kawasan Stadium Shah Alam bagi mengelakkan kawasan berkenaan dinaiki air ketika hujan lebat.

Ekoran itu, MBSA telah  menyediakan pam air sementara untuk mengepam air dari kolam takungan di sekitar Stadium Shah Alam untuk dialirkan ke sungai berhampiran.

“Pihak kami juga sudah hantar surat permohonan kepada Kerajaan Selangor pada  9 November lalu memohon peruntukan kewangan bagi melaksanakan kerja-kerja memperbaiki pam air yang  rosak untuk mengelak kejadian banjir kilat berulang.

“Pihak MBSA mengingatkan kepada pihak tidak bertanggungjawab supaya tidak melakukan aktiviti vandalisme termasuk mencuri harta benda awam kerana ini merupakan kes jenayah dan boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.

Pada 27 Okt lepas, media melaporkan puluhan kenderaan yang diletakkan di parkir Stadium Shah Alam dan sekitar Seksyen 13 di sini, ditenggelami air kira-kira 0.3 meter selepas hujan lebat.

Banjir dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan selain sistem perparitan yang tidak mampu mengalirkan air ke sungai berhampiran.

–BERNAMA