Malaysia Dateline

Percakaran dengan Umno: Akibat langgar pesan Nik Aziz, kata bekas pemimpin Pas

Percakaran antara Pas dengan Umno sekarang berlaku selepas ia pernah diberikan amaran oleh pemimpin besar Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat satu waktu dahulu bahawa ‘Orang Islam tidak patut dipatut ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali”.

Bahkan perpecahan yang berlaku di dalam Pas sehingga melahirkan AMANAH pada 2015 juga berpunca daripada penentangan sebahagian pimpinan Pas terhadap usaha pimpinan Pas ketika itu mahu bekerjasama dengan Umno.

Kini, pemimpin yang dihalau oleh pemimpin Pas berkenaan memulangkan paku buah keras terhadap pemimpin Pas apabila mereka sekarang sedang bercakaran dengan Umno.

Bagi mereka, hala tuju yang disarankan oleh Nik Aziz dahulu, tidak bekerjasama politik dengan Umno, sudah dikhianati.

“Hala tuju yang wujud semasa pimpinan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz sudah dikhianati. Siapa yang tukar hala tuju itu?

“Pemimpin yang ada sekarang termasuk anak Almarhum sendiri,” kata Dr Rosli Yaacob, bekas Pesuruhajaya Pas Negeri Sembilan yang juga bekas AJK Pas Pusat.

Menurut Dr Rosli, Almarhum Tuan Guru Nik Aziz berpesan, “tiada kerajaan perpaduan dengan Umno.”

“Ini telah dikhianati. Pas sudah ada hala tuju yang lain sekarang, bertentangan dengan pesan Almarhum,” kata Dr Rosli dalam satu hantaran kepada rakan-rakan beliau.

Katanya, Nik Aziz pernah berpesan agar Pas tidak dipatut oleh ular dari lubang yang sama.

“Sudah dipatuk binatang berbisa di lubang yang sama, baru nak patah balik. Kembali kepada kutuk dan cerca umno. Lawan Umno semula,” kata beliau mengingatkan pimpinan Pas.

Dr Rosli, bekas Pengarah Urusan Harakah antara pemimpin Pas yang meninggalkan parti itu dalam pertembungan idea dengan pimpinan Pas yang ada sekarang.

Sementara itu, bekas Setiausaha Akhbar kepada Nik Aziz, Dr Fauzi Zakaria berkata, Presiden Pas sekarang Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengkhianati prinsip dan halatuju perjuangan Pas selama ini.

Sekarang, katanya, Pas menerima akibat dari pengkhianatan yang dibuat itu.

“Haji Hadi lah pengkhianat terawal kepada prinsip dan hala tuju perjuangan Pas, semenjak Pas dikembalikan semula kepada konsep Kepimpinan Ulama.

“Haji Hadi yang mengambil alih teraju kepimpinan organisasi Pas daripada Almarhum Datuk Fadhil dan Mursyidul Am Pas daripada Almarhum Tuan Guru Nik Aziz.

“Sekarang Haji Hadi dan geng pimpinan tertinggi parti sekarang, telah menerima akibatnya,” kata Fauzi mengulas pecakaran yang berlaku antara Pas dan Umno sekarang.

Bagi Fauzi, mereka sendiri yang membuka pintu-pintu penghinaan massa menerjah muka-muka mereka sendiri.

“Tiada yang membela melainkan para walaun tegar mereka yang telah tidak lagi mengguna-pakai nikmat aqal kurniaan Allah.

“Dulu-dulu Pas cuba di hina-hina juga oleh Dr Mahathir, namun penghinaan oleh Dr Mahathir itu di bidas berapi oleh rakyat di kedai-kedai kopi,” kata Fauzi.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan asas yang menyebabkan Pas dengan Umno bekerjasama dan kini berpisah.

Ait, masa bersama Umno tubuh Muafakat Nasional (MN) atas semangat selamatkan Melayu Islam dari ancaman kapir DAP.

“Sekarang berpisah dan kuburkan MN atas semangat apa pula Ayoh Cik (Tan Sri Abdul Hadi Awang).

“Oh! Semangat nak kerusi lebih… he… he… dunia… dunia,” kata Mahfuz menyindir Hadi.