Malaysia Dateline

Percaturan dibuat Pan Gon akhirnya makan diri?

Empat pertukaran dalam kesebelasan utama dibuat Ketua Jurulatih pasukan negara Kim Pan Gon wajar dilihat sebagai faktor kekalahan Malaysia kepada Thailand pada separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, malam tadi.

Gajah Perang bimbingan Alexandre Polking menang 3-0 menerusi gol berpunca hantaran lintang untuk mencatat keputusan agregat 3-1 sekali gus menempah pertemuan dengan juara dua kali, Vietnam dalam misi mempertahankan kejuaraan.

Selepas berjaya mengatasi Thailand 1-0 di laman sendiri, Pan Gon membuat keputusan luar biasa menggantikan keempat-empat pemain di bahagian kanan dan kiri pasukan untuk berdepan pihak lawan yang merupakan pasukan dengan keupayaan teknikal yang tinggi.

Jurulatih dari Korea Selatan itu merehatkan pemain pertahanan kanan Quentin Cheng dengan harapan Muhammad Azam Azmi Murad yang segar daripada penggantungan dua perlawanan dapat melaksanakan tugas dengan baik, tetapi Thailand meledak gol pertama dari sebelah kanan.

Pan Gon juga membuat pertukaran di bahagian kiri apabila pemain pertahanan Muhammad Fazly Mazlan dipilih berbanding V. Ruventhiran, malangnya keputusan itu tidak dapat menghalang Thailand daripada menjaringkan dua gol bermula dari sebelah kiri.

Dua lagi pertukaran dibuat Pan Gon ialah mempertaruhkan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Mohd Nor Hakim Hassan masing-masing di bahagian kanan dan kiri sayap pasukan berbanding Muhammad Safawi Rasid dan Mohamad Faisal Abdul Halim yang ditolak bermain di belakang penyerang.

Berdasarkan statistik, Malaysia tidak menunjukkan perubahan dalam pendekatan permainan berbanding aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional di Bukit Jalil, apabila hanya menguasai 37 peratus penguasaan bola berbanding Thailand dengan 63 peratus.

Keputusan Pan Gon membuat dua pertukaran di bahagian sayap juga tidak menampakkan kelainan apabila Malaysia mencatatkan keseluruhan dua percubaan dengan satu tepat ke gawang, manakala Thailand garang dengan mencipta lima serangan tepat dalam keseluruhan tujuh percubaan.

Dari segi ketepatan hantaran, keupayaan Thailand bermain secara dinamik bermula dari bahagian pertahanan sehingga ke jentera serangan menyaksikan mereka mencatat 81.6 peratus manakala Malaysia yang kelihatan lewat dalam membuat ‘build up’ hanya mengumpul 65.1 peratus.

Sementara Thailand turut menunjukkan disiplin bertahan yang baik apabila berjaya menyekat tiga percubaan pasukan negara sementara Malaysia dibolosi menerusi gerakan sama iaitu hantaran lintang dari sebelah kanan dan kiri – menyaksikan pemain negara teperangkap dan mudah diatasi.

Ketika ditanya adakah keputusan empat pertukaran dilakukan itu menjadi punca kekalahan, Pan Gon menjawab: “Saya menerima sekiranya anda (media) berfikir begitu,”.

Mungkin dapat disimpulkan pasukan negara tidak belajar daripada perlawanan di Stadium Nasional apabila walaupun menang tetapi Thailand lebih menonjol dan menguasai keseluruhan 90 minit permainan dan taktikal sama diterapkan anak buah Polking pada perlawanan semalam.

Berdasarkan statistik pertembungan itu, Thailand mendominasi penguasaan bola sehingga 72 peratus dan melakukan keseluruhan 18 percubaan dengan empat daripadanya tepat ke gawang.

Pada aksi semalam, pasukan negara umpama menanti masa dibolosi pihak lawan sebelum Thailand membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi tandukan penyerang prolifik Teerasil Dangda diikuti jaringan pemain sayap Bordin Phala (minit ke-55) dan penyerang gantian Adisak Kraisorn pada minit ke-71.

Pada masa sama, faktor keletihan juga boleh diberikan perhatian dalam merungkai penyingkiran Malaysia pada edisi kali ini selepas pasukan negara mengharungi jadual perlawanan yang padat dengan tempoh perjalanan yang singkat.

Malaysia merekodkan 11 jaringan dan bolos tujuh selepas enam perlawanan dengan Mohamad Faisal muncul penjaring terbanyak pasukan dengan keseluruhan empat gol diikuti Stuart Wilkin (tiga), Sergio Aguero (dua) sementara Darren Lok dan Muhammad Haqimi Azim Rosli masing-masing satu gol.

Jumlah jaringan itu meletakkan Malaysia di belakang Indonesia (12 gol) sementara Vietnam dan Thailand setakat ini masing-masing menjaringkan 14 dan 16 gol menjelang pertembungan final.

Jelas, Pan Gon lebih mengetahui punca sebenar di sebalik kekalahan Malaysia selepas lebih lima minggu bersama barisan pemain sejak penghujung November lepas dengan meraih enam kemenangan termasuk dua aksi antarabangsa Tier 1 dan tewas dua kali dalam tempoh kira-kira sebulan.

Pengalaman membimbing pasukan negara pada kempen Piala AFF kali ini juga akan membantu beliau meluaskan lagi pencarian pemain terbaik sepanjang tahun ini dalam usaha membentuk skuad terkuat bagi mengharungi Piala Asia 2023 di Qatar yang dijadual berlangsung pada Januari 2024.

— BERNAMA

Baca juga : Malaysia gagal mara final Piala AFF, ini komen Pan Gon