Malaysia Dateline

Percaturan, keputusan PRN Melaka beri petunjuk awal kepada PRU-15

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan penyandang jawatan Ketua Menteri hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal memberi gambaran kepada senario politik nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Yusri Ibrahim berkata, walaupun bersaiz kecil Melaka mempunyai komposisi kaum yang boleh dianggap mewakili demografi pengundi di peringkat nasional.

“Melaka walaupun dengan enam Parlimen dan 28 DUN tetapi politik Melaka sangat menarik kerana mewakili komposisi kaum dan senario politik Malaysia khususnya Semenanjung.

“Apa yang berlaku dalam PRN Melaka nanti akan menjadi penanda aras kepada PRU-15.

“Bagaimana percaturan, gabungan, persefahaman dan strategi dan keputusan PRN Melaka akan memberikan petunjuk awal kepada senario politik tanah air menjelang PRU-15,” katanya dalam forum secara langsung menerusi Facebook Parti AMANAH Negara Negeri Kelantan malam tadi.

Turut menjadi panel dalam Siri 21 Wacana Politik Kelantan bertajuk, “Asam Pedas Melaka & Gula Melaka: Sedapkah jika bercampur?” itu ialah bekas Exco Melaka, Datuk Sofi Wahab yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH negeri.

Mengulas lanjut, Yusri menyifatkan lanskap politik PRU-15 nanti juga boleh dijangka sekiranya tiada modifikasi dilakukan oleh parti-parti yang bertanding dalam PRN Melaka.

“Signifikannya PRN Melaka ini, jika tidak ada pengubahsuaian ketetapan dalam PRN Melaka, ia juga akan memberi gambaran awal apa yang berlaku pada PRU-15,” jelasnya.

Krisis politik Melaka memuncak ketika negara masih bergelut dengan ancaman Covid-19 ekoran penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas pada 4 Oktober lalu.

Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).