Malaysia Dateline

Percaturan Mahathir-Anwar dalam peralihan kuasa

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad berkata yang beliau bersedia untuk menamatkan kerjasamanya dengan PKR jika parti itu terus menentang pencalonannya bagi jawatan perdana menteri, ini bermakna telah tercetusnya perang antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam wawancara eksklusif dengan Sin Chew Daily, Mahathir berkata bahawa beliau akan berhenti bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim sekiranya kebuntuan berhubung calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) Plus tidak dapat diselesaikan.

Jelas Mahathir, beliau akan mencari jalan lain untuk menjadi perdana menteri untuk kali ketiga.

Tetiba terfikir juga adakah Dr Mahathir ingin meniru rekod peninju legenda Muhamad Ali yang merealitikan impian menjadi Juara Tinju heavyweight sebanyak tiga kali iaitu pada 1964, 1974, and 1978. Cassius Clay (atau Muhamad Ali) berusia 22 tahun apabila beliau mengecewakan Sonny Liston untuk memenangi gelaran heavyweight dunia pada Februari 1964.

Pada bulan Oktober 1974, Ali menewaskan George Foreman di Zaire dan pada Februari 1978 di Las Vegas, Ali kehilangan gelaran kepada Leon Spinks tetapi dalam pertemuan ulangan di New Orleans lapan bulan kemudian Ali memenangi gelaran dunia ketiganya dengan keputusan jelas, pada usia 36 tahun.

Lazimnya yang tercatat dalam sejarah ialah senarai mereka yang lama memerintah di sesebuah negara. Fidel Castro memerintah Cuba selama 49 tahun. Ini diikuti dengan Presiden pertama Taiwan, Chiang Kai-Shek selama 47 tahun. Pemimpin ketiga yang paling lama memerintah ialah pendiri negara Korea Utara ialah Kim Il-sung yang menjadi pemimpin selama 46 tahun.

Vladimir Putin menjadi Presiden Rusia selama empat penggal pilihan raya berturut-turut, tetapi lain dengan Dr Mahathir, beliau letak jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) pada 31 Oktober 2003, selepas 22 tahun menjawat jawatan tersebut. Pada 22 Februari 2020, setelah memerintah selama 22 bulan, Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai PM untuk kali kedua berikutan pergolakan politik yang berlaku dalam PH sejak mesyuarat Majlis Presiden.

Namun pada 24 Februari (dua hari kemudian) Dr Mahathir dilantik sebagai PM interim sementara menunggu pelantikan PM yang baharu.

Jika diambil kira kepada jawatan PM interim, Dr Mahathir dikira telah tiga kali menjadi PM, tetapi tentulah rekod ini tidak diambil kira memandangkan ia hanya sementera dan bukannya mendapat sokongan ahli-ahli parlimen.

Oleh itu jika Dr Mahathir menjad PM PH plus dalam peralihan kerajaan ini, ia akan dicatatkan dalam sejarah politik dunia sebagai satu-satu PM yang turun naik sebanyak tiga kali (andaian jika menjadi PM) dalam sebuah negara demokrasi berparlimen.

Dr Mahathir telah menyatakan secara terbuka bahkan menolak cadangan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk beliau dilantik ke satu jawatan khas dalam kabinet, dan bukannya perdana menteri, jika PH Plus berjaya merampas semula kerajaan persekutuan.

Kata Dr Mahathir “Tidak, saya tak akan terima,” seperti dipetik dalam wawancara dengan Sin Chew Daily.

Begitulah dengan Dr Mahathir, ingin berkuasa untuk kali ketiga walaupun dalam jangka enam bulan seperti disebutkan beliau.

Jika perang mulut antara Dr Mahathir dan Anwar telah bergelora, maka perang susun kerusi pun sudah tentu sedang berlaku.

Perang Mahathir-Anwar bermula berdasarkan kepada jumlah 114 kerusi ahli Parlimen Perikatan Nasioal (PN) yang duduk di kerusi kerajaan pada pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang dengan kerusi ahli Parlimen pembangkang kini diduduki seramai ahli Parlimen membuktikan kedudukan kerajaan pakatan itu sebenarnya sangat rapuh dan tidak stabil.

Senario yang membabitkan jumlah kerusi ahli Parlimen menyokong PN turut menunjukkan Muhyiddin memerlukan usaha dalam meraih lebih banyak sokongan ahli Parlimen bagi mengukuhkan kedudukan kerajaannya.

Apakah opsyen yang ada kepada Dr Mahathir dalam menjamin atau memperolehi kerusi parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaannya.

Percaturan Mahathir dan geng Bersatu pasti akan melibat Parti Warisan Sabah. Sebagai asas pengiraaan dalam politik kerusi: tentunya 5 kerusi parlimen datang dari Bersatu, Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mempunyai 9 kerusi parlimen. Ini ditambahkan dengan sokongan DAP 43 dan AMANAH, 11 jumlahnya adalah 68.

Adakah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan geng 11-nya membantu Dr Mahathir menjadikannya 68+12 = 80 kerusi parlimen dan bagaimana dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 18 ahli parlimen, adakahkah mereka juga menyokong Dr Mahathir menjadikannya sebagai 98 kerusi parlimen. Namun ia masih tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Adakah Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang didakwa sebagai penyokong Dr Mahathir ingin keluar dari Umno dan menyertai PH Plus.

Bagi Anwar pula, katakan beliau melakukan sesuatu yang luar biasa membentuk pakatan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu maka perkiraannya ialah: PKR dengan 36 kerusi, DAP 43, Amanah 11 dan Bersatu mempunyai 26 kerusi parlimen maka jumlahnya ialah 116.

Ini jika diandaikan DAP dan Amanah bersetuju untuk bergabung dengan PKR dan Bersatu maka Anwar boleh membentuk kerajaan. DAP dan Amanah mengatakan mereka menyokong Anwar sebagai PM tetapi DAP dan Amanah mendedahkan pilihan pertama mereka untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri gagal mendapat sokongan diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Justeru, ia jatuh kepada pilihan kedua, iaitu Dr Mahahir sebagai PM dan Anwar sebagai timbalannya, dikemukakan.

Adakah PKR akan bergabung dengan Bersatu, atau membentuk pakatan Anwar-Muhyiddin. Tetapi setujukah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi TPM pula. Agak pelik juga dan ia melibatkan kedudukan beliau sekarang.

Maka Bersatu harus merungkaikan PN dan memutuskan hubungan dengan Muafakat Nasional. Namun dalam politik kerusi segala kemungkinan boleh dan sedia berlaku. Bukankah matlamat menghalalkan cara?

Andaian ini berdasarkan kepada kenyataan pimpinan pusat dan anggota parlimen PKR yang bersetuju memberi ruang dan kebebasan kepada Anwar sebagai presiden parti untuk berunding dengan sesiapa sahaja dalam usaha untuk menjayakan peralihan PH ke tampuk kerajaan.

Bahkan Ketua Whip PKR, Johari Abdul menjelaskan keputusan ini dibuat setelah PKR bertekad untuk menolak Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekali lagi. Sebelum ini, selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional, pada Mac lepas Anwar pernah bertemu dengan Muhyiddin Yassin.

Walaupun tidak diketahui siapa yang ingin berjumpa siapa namun ramai yang tertanya-tanya adakah pertemuan selama 45 minit membincangkan mengenai langkah menangani wabak Covid-19 sahaja.

Bagaimanapun ini adalah perkiraan teoritikal. Dalam politik dengan seni serba mungkin, kreativiti dan kemahiran bermatematik adalah penting dalam susunan kerusi era pasca-C-19. Ini benar-benar norma baharu.
…………………..
Kolumnis adalah pensyarah dari Jabatan Komuniasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)