Percaturan politik Muhyiddin, Mukhriz dan Mahathir

Percaturan politik Muhyiddin, Mukhriz dan Mahathir

Walau apa pun keputusan yang akan di ambil oleh mereka bertiga, akan terdapat kesan kepada senario politik negara samada kepada BN atau Pakatan Harapan.

Keputusan Majlis Tertinggi Umno memecat Tan Sri Muhyuddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dari parti tersebut sememangnya telah di duga sejak krisis ini bermula kerana tindak tanduk politik mereka berdua bersama-sama dengan Tun Mahathir Mohamad boleh di ibaratkan sebagai lebih pembangkang dari pembangkang.

Tidak syak lagi keputusan pilihanraya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah salah satu pemangkin utama mengapa keputusan tersebut di buat pada ketika ini kerana pengaruh kedua-dua mereka ini dalam Umno tidak boleh diperlekehkan dan jika tersilap percaturan mampu mengugat kestabilan Umno.

Keputusan PRK Kuala Kangsar telah membuktikan sokongan pengundi Melayu dan ahli Umno tetap utuh kepada Umno sementara Sungai Besar pula menjerumus kepada kepercayaan bahawa pengundi Cina telah kepada kepada Barisan Nasional. Analisis mudah mempamirkan bahawa kesan Muhyuddin, Mukhriz dan Mahathir berkempen di atas pentas pembangkang adalah begitu minimum sekali.

Cuma yang menjadi persoalan pada ketika ini apakah langkah seterusnya ketiga-tiga bekas ahli Umno ini kerana hakikatnya adalah berpolitik tanpa parti tidak akan membawa kepada arah mencapai objektif politik mereka bertiga.

Begitu jelas sekali selama ini ketiga-tiganya berkempen tanpa parti bermula dengan pilihanraya negeri Sarawak dan di ikuti dengan kedua-dua PRK, impak yang di cetuskan oleh mereka bertiga sebaliknya memberi manfaat kepada Umno.

Tetapi apa yang pasti adalah Muhyuddin, Mukhriz dan Mahathir perlu membuat keputusan dengan cepat dan yang paling penting keputusan tersebut mesti merangkumi ketiga-tiga mereka. Jika ketiga-tiganya mengambil haluan yang berbeza, maka apa jua keptusan yang dibuat sudah pasti tidak akan merubah senario politik tempatan.

Paling mudah bagi mereka bertiga adalah menyertai parti politik sedia ada seperti Pas, Pan atau PKR. Malah bukan juga mustahil mereka menyertai DAP kerana sebelum ini pun kerjasama telah di jalinkan.

Tetapi strategi sebegini di nilai amat sukar untuk berlaku kerana sebelum ini dengan hanya jalinan kerjasama melalui landasan Pakatan Harapan, ianya sudah banyak mengundang perasaan syak wasangka terutama sekali dari kepimpinan PKR.

Tambahan pula oleh kerana ketiga-tiga mereka ini dianggap sebagai individu yang mempunyai aura tersendiri dalam dunia politik tempatan, maka sudah pasti akan ada ahli dalam parti yang disertai merasa kurang senang dengan kehadiran mereka bertiga.

Jika diandaikan mereka bertiga ini menyertai parti politik pembangkang yang sedia ada, maka tidak keterlaluan jika di buat penilaian pihak yang paling mendapat manfaat bukannya parti tersebut tetapi sebaliknya Umno yang akan meraih manfaat politik.

Andainya pula mereka bertiga membuat keputusan untuk menubuhkan parti politik yang baharu, maka sudah pasti kemusykian utama yang perlu di jawab adalah arah tuju parti tersebut samada mengikut acuan Umno atau pun mempunyai entiti yang baharu.

Bagi PH sudah pasti mereka mahu melihat parti baharu ini adalah mengguna pakai konsep serpihan dari Umno kerana melalui kaedah ini penyokong sedia ada Umno akan berpecah belah samada untuk kekal dalam Umno atau menyertai parti baharu mereka bertiga.

Kaedah penubuhan parti baharu mengguna konsep serpihan dianggap paling mudah dilakukan kerana penyokongnya sudah sedia ada iaitu ahli Umno itu sendiri tetapi juga dianggap paling mudah terkubur kerana jika tidak ramai ahli Umno yang berpengaruh melakukan penghijrahan maka parti tersebut dari awal lagi akan dilabel sebagai gagal.

Tetapi jika parti baharu yang ditubuhkan mempunyai entiti yang jauh berbeza dengan Umno maka kesukaran yang dihadapi pula ialah untuk menarik ahli baharu. Dalam konteks senario politik tempatan kehadiran Umno, Pas, Amanah, PKR, MCA, MIC dan DAP sahaja dianggap sudah terlampau banyak.

Sebagai contoh walaupun Parti Ikatan Bangsa Malaysia telah ditubuhkan hampir empat tahun lepas oleh tokoh bekas Umno tetapi impaknya kepada politik tempatan masih belum di rasai.

Keputusan ketiga yang dianggap amat sukar untuk terjadi adalah ketiga-tiga mereka ini berundur dari dunia politik tempatan samada buat sementara waktu atau pun secara kekal.

Tetapi jika diteliti mengenai perjalanan politik pada ketika ini, ini adalah keputusan paling optimum walaupun dijangka sukar untuk berlaku terutama sekali berundur untuk buat seketika dan kembali aktif dalam keadaan yang paling sesuai terutama sekali selepas PRU 14.

Walau apa pun keputusan yang akan di ambil oleh mereka bertiga, akan terdapat kesan kepada senario politik negara samada kepada BN atau Pakatan Harapan. Cuma yang menjadi tanda tanya apakah tahap kesan tersebut.

Tetapi jika di lihat solidariti ahli Umno itu sendiri pada hari ini, apa jua keputusan yang di buat, sudah agak pasti Umno amat sukar untuk tergugat.

COMMENTS

Wordpress (0)