Malaysia Dateline

Percaturan politik tarik tali Bersatu-Umno menjelang September

Ketika rencana ini ditulis, Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad melepaskan jawatannya. Sementara itu tular surat dari Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan penangguhan pemilihan Umno dan mengarahkan parti itu menetapkan tarikh untuk melakukannya.

Itu adalah dua peristiwa yang berlaku sebagai sebahagian daripada rentetan perkembangan politik negara sejak sidang Parlimen minggu lalu. Ketika pembaca menatap tulisan ini, berkemungkinan berlaku perkembangan lain yang menyerlahkan lagi ketidakstabilan politik negara.

Keadaan ini dijangka berterusan sehingga September, atau mungkin berakhir dengan pembubaran Parlimen dan diadakan pilihan raya umum. Ia juga berkait rapat dengan keadaan wabak Covid-19.

Buat masa ini pandemik itu berada di tahap tinggi. Kes harian juga dijangka boleh naik lagi dengan harapan ia boleh mula turun pada September. Penurunan kes jangkitan baharu dilihat berkait dengan program imunisasi.

Dengan penurunan itu bolehlah pilihan raya baharu diadakan supaya mandat segar dapat diperolehi bagi menubuhkan kerajaan lebih stabil iaitu lebih baik daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

Kejayaan mengatasi wabak Covid-19 juga akan digunakan oleh PN untuk menarik sokongan rakyat terhadap mereka. Walaupun pada keseluruhan, kerajaan tidak menangani Covid-19 dengan sebaiknya, tetapi berakhirnya wabak ini akan menaikkan semangat rakyat dan mereka boleh lupa segala kesusahan dan kegagalan sebelum itu.

Namun, menteri-menteri utama yang bertanggungjawab dalam usaha menangani Covid-19 ini datangnya dari Umno, iaitu Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri yang mempengerusikan Majlis Keselamatan Negara; Menteri Kesihatan, Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Apabila menghadapi pilihan raya umum nanti, jika berlaku perlawanan antara PN dan Barisan Nasional (BN), Umno pun wajar menyatakan bahawa ia juga memberi sumbangan pada kejayaan mengatasi wabak itu.

Bagaimanapun kalau orang menyebut mengenai kegagalan, tentulah Umno akan menjarakkan diri dan menyatakan PN yang bertanggungjawab kerana mereka yang menerajui kerajaan. BN hanya memberi sokongan.

Alasan utama Umno tidak menarik balik sokongan daripada kerajaan walaupun Majlis Tertingginya telah memutuskan demikian ialah kerana Covid-19. Maknanya, Umno didakwa tidak mahu menjejaskan tumpuan kerajaan bagi menangani wabak itu dengan menjatuhkan kerajaan pada waktu ini.

Tetapi keadaan kerajaan PN yang tidak stabil sejak tahun lalu tentu dipercayai telah menarik perhatian kerajaan terhadap tumpuan utama bagi menangani Covid-19.
Majoriti kerajaan PN yang diragui oleh banyak orang dan sentiasa dipersoalkan oleh pembangkang menyebabkan angka sentiasa menjadi perkiraan dan menjejaskan banyak pertimbangan sewajarnya dalam pemerintahan. Lantaran itu, seseorang itu dilantik bukan kerana kemampuannya tetapi sebab keperluan sokongan politik.

Maka oleh itu, keputusan-keputusan kerajaan termasuk darurat dicurigai ada muslihat politik di sebaliknya. Terhakisnya keyakinan orang ramai terhadap kerajaan menyebabkan keikhlasan mereka diragui.

Maksudnya segala tindakan atau dasar bukan kerana rakyat dan negara semata-mata tetapi adalah kerana pertimbangan untuk mempertahankan kuasa yang kedudukannya hampir tergelincir kerana majoritinya diragui.

Titah Yang di-Pertuan Agong supaya sidang Parlimen diadakan dan penzahiran dukacita bahawa darurat diisytihar tamat oleh menteri menunjukkan bahawa kerajaan PN ini sedang “panik”.

Ditambah pula dengan penangguhan sidang Parlimen ke September atas alasan Covid-19, maka tentulah perkara ini menunjukkan bahawa kemungkinannya kerajaan ini sebenarnya sudah hilang majoriti. Lebih-lebih lagi apabila Umno secara rasmi dan terbuka menarik diri.

Langkah yang terhormat bagi Perdana Menteri adalah meletak jawatan. Negara perlu bergerak terus dan terpulang pada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri yang mempunyai majoriti penyokong dari kalangan Ahli Parlimen.

Ada pihak yang bimbang bahawa perubahan kerajaan akan menjejaskan usaha melawan Covid-19. Mereka mahu segala kegiatan politik dihentikan supaya tumpuan dibuat terhadap melawan Covid-19.

Ketika mula darurat, mereka mengalu-alukannya kerana ia mengurangkan kegiatan politik. Pihak ini tentu menolak pandangan bahawa darurat ini berkemungkinan adalah sebahagian daripada tindakan politik. Tetapi setelah tamat darurat pun, wabak Covid-19 masih tidak dapat ditundukkan.

Seruan supaya dihentikan kerja-kerja politik seringkali ditujukan pada pihak pembangkang. Ini kerana pembangkang sering dilihat mempertikaikan angka majoriti kerajaan PN. Tetapi apa yang berlaku ialah PN juga melakukan tindakan politik. Begitu juga dengan BN. Tidak ada gencatan politik langsung sejak wabak bermula tahun lalu.

Tetapi jika berlaku perubahan kerajaan, tidak semestinya usaha melawan Covid-19 terjejas. Jentera kerajaan bergerak seperti biasa. Ketua Setiausaha semua kementerian tentu cukup bijaksana untuk melakukan tugas. Kerajaan baharu dibentuk pula pasti berusaha bertindak dengan cara lebih baik untuk menangani Covid-19.

Sebenarnya ia adalah soal sama ada rakyat berpuas hati atas usaha melawan Covid-19 sekarang ini. Kalau berpuas hati, kekalkan saja kerajaan sedia ada. Tentu Menteri Kesihatan dan Menteri Sains tahu apa yang mereka lakukan. Lagipun mereka mempunyai maklumat dan nasihat jitu dari para pakar. Rakyat hanya perlu bersabar menanti bulan September. Apa yang perlu dilakukan adalah menjaga SOP dan lengkapkan dos vaksin.

Walaupun tumpuan patut diberikan pada melawan Covid-19, tetapi fungsi kerajaan tidak boleh disempitkan pada rawatan pesakit Covid-19 dan imunisasi saja. Ia melibatkan keseluruhan pentadbiran kerajaan. Daripada soal ekonomi sampailah pendidikan.

Bagaimanakah respons setiap kementerian dalam menghadapi situasi Covid-19? Tentu ia memerlukan kepimpinan Perdana Menteri, menteri-menteri dan para penasihat mereka. Adakah rakyat berpuas hati dengan prestasi kerajaan ini? Rasanya tidak. Bila tidak, mereka perlu diganti.

Tetapi apakah sebab utama Umno mahu menarik diri daripada kerajaan? Adakah kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Muhyiddin Yassin dengan cara beliau menangani wabak Covid-19?

Bagi pemerhati umum, mereka percaya Umno tidak berpuas hati dengan layanan yang mereka terima dari Muhyiddin. Umno berasakan bahawa sebagai parti yang lebih besar daripada Bersatu, mereka sepatutnya mengetuai kerajaan.

Tetapi Muhyiddin dengan jelas menyatakan bahawa ada pihak yang mahu kerajaan campur tangan dengan proses mahkamah. Rakyat secara umum faham siapakah “kluster mahkamah.”

Jadi, aktiviti politik yang sedang berlaku sekarang adalah tarik tali antara Bersatu dengan Umno. Walaupun Umno secara rasmi sudah mengumumkan tarik diri daripada kerajaan, tetapi yang menjadi persoalannya ialah bila pelaksanaannya. Setakat ini, apa yang diumumkan ialah, nantikan bulan September.

Dalam suasana tarik tali ini, Umno pun berpecah dua. Ada yang mahu bersama PN. Jika akhirnya kerajaan PN tumbang juga, maka akan berlaku penjajaran semula yang melibatkan pembangkang. Sama ada PH akan bersama Umno atau tidak, ia juga dijangka memecahkan pihak pembangkang. Persaingan Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad pasti timbul semula.

Realitinya, aktiviti politik ini tidak boleh dihentikan. Sama ada wujud Covid-19 atau tidak, politik Malaysia sudah berkembang sebegini rupa. Pertelingkahan Umno, Bersatu, PKR dan Pejuang adalah kesemuanya limpahan dan lanjutan politik asalnya dari Umno sendiri. PAS, DAP dan Amanah yang asalnya tidak berkaitan dengan Umno turut terheret sama.

Politik Malaysia tidak boleh kembali seperti dahulu ketika mana Umno dominan. Sejarah akan berjalan terus. Ada ahli politik yang baik dan bagus. Tetapi banyak juga yang tidak berguna dan menyusahkan rakyat.

Sebahagian rakyat tentu tidak suka kegiatan politik kerana dirasakan mengganggu kehidupan mereka. Tetapi sebahagian rakyat pula sememangnya suka dengan kegiatan politik. Sistem demokrasi adalah bertujuan untuk melancarkan percaturan politik bagi mengelak peperangan. Demokrasi juga bertujuan membulatkan suara rakyat di sesebuah negara di samping menerima kepelbagaian. Jadi, rakyat wajar berlapang dada dan mendinginkan kepala pada politik. Sesungguhnya, manusia adalah haiwan siasah.