Malaysia Dateline

Percaya PH, sama seperti mahukan perubahan diri sendiri

Setiausaha AgungĀ  DAP, Lim Guan Eng menyeru agar rakyat membuat penilaian yang terbaik dengan mengundi Pakatan Harapan (PH) yang diibaratkan sama seperti mahukan perubahan yang lebih baik kepada diri sendiri.

Itu kata semangat yang ditegaskannya dengan memegang prinsip janji pasti akan ditunaikan melalui sokongan terhadap calon PH Karmaine Sardini.

Beliau berkata PH menjadikan saling bantu membantu antara pemimpin PH sebagai penentu pembangunan Tanjung Piai yang berterusan dan akan menguatkan lagi perubahan yang bakal dilakukan dalam Tanjung Piai.

“Apabila Karmaine jadi Ahli Parlimen kelak, kita semua akan tolong dia. Menteri Besar akan tolong, Mat Sabu akan tolong.

“Kita mahu semua rakyat bersatu padu, Cina bantu Melayu, Melayu bantu Cina, India bantu Melayu, kita sama-sama saling bantu membantu. Itulah PH.

“Kita pegang pada prinsip apa yang kita cakap adalah janji yang kita akan tunaikan

“Saya difahamkan ada risalah yang menyatakan bahawa Islam kena sokong Islam, ini bukan datang dari PH. Kerana PH tak akan mainkan isu perkauman. Kita nak wakili semua rakyat Malaysia. Kita tak kira asalkan boleh berkhidmat pada rakyat, asalkan bersih kerana kita mahu rakyat sokong calon bersih,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Ceramah Mega Pakatan Harapan di Terminal Bas Kukup Laut, Pontian hari ini.

Beliau turut memberi keyakinan bahawa lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan untuk anak muda dengan kadar gaji yang berpatutan sekiranya penduduk memberi sepenuh keyakinan kepada calon Bersatu.

Dengan itu, beliau menyeru rakyat membuat penilaian terbaik dalam memilih wakil rakyat yang layak untuk Parlimen P. 165 itu.

“Saya harap rakyat boleh buat penilaian. Siapa yang boleh bawa perbezaan kepada kehidupan anda sebagai Ahli Parlimen. Adakah calon pembangkang atau calon Pakatan Harapan.

“Saya yakin sekiranya Karmaine dipilih sebagai Ahli Parlimen, cadangan dan permintaan akan disampaikan kepada Tun Mahathir. Dah tentu permintaan beliau akan diberikan pertimbangan sewajarnya.

“Beri peluang pada diri sendiri untuk tunjuk apa perbezaan PH boleh bawa pada Tanjung Piai,” katanya.

Ceramah Perdana PH dengan kemuncaknya bakal menyaksikan penampilan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir merangkap Pengerusi PH di pentas kempen pada hari ke-12 ini dihadiri lebih 1,000 orang.

Pemimpin tertua di dunia itu tiba di lokasi ceramah bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada jam 10.05 malam tadi diiringi kumpulan bermotosikal berkuasa tinggi.

PRK P.165 Parlimen Tanjung Piai dengan pembuangan undi pada 16 November ini merupakan pesta demokrasi kesembilan selepas PRU-14.

PH sebagai penyandang P165 menampilkan calon veteran dari Bersatu, Karmaine Sardini di kerusi marginal yang merekodkan jumlah pengundi Cina mencecah 42 peratus.