Malaysia Dateline

Percepat vaksinasi di Kedah elak rakyat tersungkur

Kemungkinan besar nostalgia tidak boleh beraya akan berulang sekali lagi menjelang Aidil Adha yang akan disambut minggu depan.

Di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi rakyat akan merasai pelbagai kesulitan hidup sehinggalah sambutan Aidil Adha tidak mungkin ada lagi kenikmatan seperti sebelum negara dikuasai oleh kerajaan PN.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Datuk Ir Zamri Yusuf kes harian Covid-19 negara telah melepasi 11,000 kes, manakala negeri Kedah mencecah hampir 500 kes.

“Banding dan renungkan dengan ucapan manis Perdana Menteri (PM) dan Menteri ketika meminta dilaksanakan darurat sejak 28 minggu yang lalu dan di mana kedudukan kita sekarang.

“Cuba ingat kembali janji PM dan Menteri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hendak dilaksanakan menyeluruh versi Ramadan sebelum ini dan dimana kita ketika berada di ambang Aidil Adha kali ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, titah Majlis Raja-Raja Melayu bahawa darurat mesti ditamatkan pada 1 Ogos ini dan Parlimen wajib bersidang segera bagi membincangkan isu menangani penularan Covid-19 harus diberi perhatian serius.

Jelas bekas Exco kerajaan negeri Kedah semasa pentadbiran PH itu, Parlimen boleh membentuk kerajaan yang lebih baik dan mendapat sokongan rakyat.

Kata beliau lagi, walaupun pemberian vaksin lembab dengan hanya 10.8 peratus mendapat dua dos sehingga semalam dan dijangka mencapai 24 peratus pada 1 Ogos nanti, belum ada kesan kaedah tersebut mampu menyekat penularan pandemik.

“Apakah kerajaan PN akan terus menerus meminta rakyat menelan pil janji bahawa adanya cahaya di hujung gua yang kelam?

“Apakah harus diberi sekali lagi peluang selama 12 bulan kepada Muhyiddin dan PN untuk menampakkan kejayaan yang belum pasti?” soal wakil rakyat dari PKR tersebut.

Sehubungan itu, Zamri menegaskan seramai 140 Ahli Parlimen, selain 80 Menteri, timbalan dan yang bertaraf menteri harus segera memikirkan masa depan untuk mengembalikan Malaysia ke landasan sebenar bagi mengelak rakyat tersungkur menyembah umpama meminta sedekah.