Malaysia Dateline

Percepatkan kadar pelaksanaan vaksin Covid-19, cadang veteran DAP

Veteran DAP, Lim Kit Siang menyeru kerajaan agar mempercepatkan lagi kadar pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 supaya negara lebih cepat bebas dari kemelut wabak ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mencadangkan agar Pasukan Tindakan Imunisasi Covid-19 Malaysia (CITF) bersidang dan mempertimbangkan cara untuk mempercepatkan pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan supaya negara kita dapat mula pulih sepenuhnya dalam tahun 2021.

“Dalam konteks ini, cadangan daripada Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh, supaya diwujudkan satu program vaksinasi yang berjalan selari dan serentak dengan program vaksinasi kerajaan patut diberikan pertimbangan,” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Menurut beliau, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, telah mengumumkan pemecutan pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 di Amerika Syarikat, menjanjikan bekalan vaksin yang mencukupi untuk “semua orang dewasa di Amerika menjelang penghujung bulan Mei”, berbanding dengan sasaran menjelang bulan Julai sebelum ini.