Malaysia Dateline

Percepatkan pengedaran vaksin sebelum hari Kemerdekaan

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengulangi seruannya agar kerajaan mempercepatkan proses pengedaran vaksin Covid-19 dan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebelum sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos.

Beliau dalam satu kenyataannya melahirkan rasa kecewa apabila cadangannya dua minggu lalu yang menggesa mempercepatkan proses pemberian vaksin, tidak diendahkan

“Sekiranya kita ingin menjayakan program imunisasi ini dalam tempoh enam bulan akan datang, maka strategi dan pendekatan baru perlu dirancang dengan tidak bergantung semata-mata kepada aplikasi MySejahtera.

“Sebaliknya, benarkan pendaftaran secara normal iaitu melibatkan lebih ramai pihak yang berkepentingan ke dalam program ini termasuk hospital swasta dan doktor am dalam negara.

“Benarkan juga syarikat, persatuan dan organisasi sukarela membantu dalam proses pendaftaran vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan media selepas menerima suntikan Covid-19 hari ini.

Kit Siang turut membandingkan dengan Amerika Syarikat di mana kadar vaksinasi negara itu dalam tempoh 50 hari, telah berada di paras kira-kira hampir 2.5 juta dos sehari.

Presiden AS dilaporkan telah mempercepat program vaksinasi di negara itu dengan menetapkan 1 Mei sebagai tarikh di mana setiap orang dewasa akan layak menerima vaksin, dan menetapkan Hari Kemerdekaan Amerika pada 4 Julai sebagai tarikh sasaran untuk kembali normal.

“Justeru, tidak ada sebab mengapa Malaysia tidak boleh menjadi salah satu negara yang berprestasi lebih baik dalam perang melawan wabak Covid-19.

“Kerajaan perlu menetapkan matlamat baru dan bercita-cita tinggi untuk sambutan Hari Kebangsaan – Hari Malaysia di antara 31 Ogos hingga 16 September 2021,” ujarnya.