Malaysia Dateline

Percubaan mengubah kerajaan adalah pengkhianat, kata MTUC Sarawak

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak melahirkan rasa kecewa apabila berlaku sebarang percubaan untuk mengubah kerajaan sedia ada tanpa undi percaya atau menerusi pilihan raya.

Setiausaha MTUC Sarawak, Andrew Lo berkata, ia merupakan satu pengkhianatan kepada asas demokrasi dan undi rakyat sekali gus membahayakan masa depan negara.

Tegas beliau, adalah amat menyedihkan kerana buat masa ini dunia sedang berdepan ancaman COVID-19 selain pertumbuhan ekonomi yang lemah, para pemimpin lebih berminat dengan isu-isu politik.

“Pengundi telah membuat pilihan yang jelas semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2018. Maka, pemimpin-pemimpin dan parti-parti politik mesti menghormati pilihan rakyat.

“Dengan itu, Pakatan Harapan (PH) telah mendapat mandat untuk memerintah manakala BN (Barisan Nasional) harus memainkan peranan dengan berkesan dan menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dalam ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan.

“Justeru, kedua-dua pihak akan berpeluang kembali kepada rakyat pada pilihan raya akan datang. Ini merupakan demokrasi sebenar,” katanya menerusi satu kenyataan di Kuching.

Lo turut melahirkan kebimbangan dengan laporan yang menyatakan wujud cubaan oleh pemimpin pelbagai parti politik daripada kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) meyakinkan Yang di-Pertuan Agong yang mereka mempunyai majoriti ahli parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

“Kita berharap kepada para pemimpin agar mendahului rakyat daripada terus menimbulkan konflik untuk mengubah pilihan rakyat menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu,” ujarnya.