Percubaan Najib di saat akhir untuk tangguh bicara SRC gagal

Percubaan Najib di saat akhir untuk tangguh bicara SRC gagal

Bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sekali lagi gagal untuk menangguhkan perbicaraannya berhubung SRC International Sdn Bhd selepas Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan ia dimulakan hari ini sebagaimana dijadualkan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib supaya notis usul bagi mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai cacat, didengar dahulu, sebelum perbicaraan bermula.

“Itu (usul berkenaan) boleh didengar pada tarikh kemudian,” kata hakim dan memerintahkan perbicaraan dimulakan.

Pada permulaan prosiding, peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pembela telah memfail usul itu pagi ini dan telah meng-emel salinan kepada pihak pendakwaan.

“Usul ini perlu didengar dahulu, atau pada sebarang masa sebelum perbicaraan bermula, sebelum kita memanggil saksi. Kami telah juga memfail ‘sijil urgency’ pagi ini,” kata Muhammad Shafee.

Peguam Negara Tommy Thomas membantah permohonan itu, dan berkata usul itu tidak disampaikan ke pejabatnya secara sempurna dan difailkan pada saat-saat akhir.- BERNAMA