Percubaan Pas bawa usul tol LPT2 pada sidang Dun Terengganu gagal

Pas melahirkan sara terkilan kerana usul tol LPT2 yang berkepentingan bagi rakyat tidak sempat di bawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu kerana tidak dipilih oleh speaker dewan.

Percubaan Pas bawa usul tol LPT2 pada sidang Dun Terengganu gagal

Pas melahirkan sara terkilan kerana usul tol LPT2 yang berkepentingan bagi rakyat tidak sempat di bawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu kerana tidak dipilih oleh speaker dewan.

Menurut laporan Buletin Online, pembawa usul itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik berkata beliau tidak terpilih bagi membawa usul tergempar itu kerana pihak Speaker DUN memilih usul yang dibawa oleh wakil kerajaan.

Menurutnya, alasan yang diberikan oleh pihak Speaker, Dato’ Zubir Embong kerana beliau melihat wakil kerajaan, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar lebih dahulu bangun.

Justeru, kata Cikgu Wan Hapandi usul yang hendak dibawa kepada dewan adalah berkepentingan bagi rakyat.

“Saya mewakili Pas Terengganu (Adun Sura) telah cuba membawa satu usul kepada dewan agar persidangan DUN hari ini dapat membincangkannya,”

“Itu usul yang saya hendak bawa ke dewan tadi tetapi pihak kerajaan (speaker) sendiri telah mendahulukan wakil kerajaan untuk mengemukakan usul lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wakil media ketika Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-13, berhenti rehat di lobi U2 Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Sebaliknya, Usul yang dikemukakan oleh Adun Air Putih (Wan Abdul Hakim) itu adalah berkenaan isu symptom Hipetitis B dan batuk kokol yang mana tidak didapati langsung isu itu menjadi wabak atau jangkitan di Terengganu masa ini.

Sehubungan itu, Cikgu Wan Hapandi mendesak agar pihak kerajaan segera menyempurnakan segala kemudahan dan infrastruktur yang diperlukan di LPR2 tersebut.

Malah, katanya pihak pembangang tidaklah membangkang secara melulu melain demi kepentingan serta keselesaan rakyat.

“Jadi kita (Pas) harap supaya pihak kerajaan dapat menyempurnakan infrastruktur yang masih belum sempurna termasuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak kekal dan pelbagai kemudahan yang sepatutnya.

“Kita tidak membangkang secara melulu kutipan tol ini, tetapi kita mahu segala kemudahan dan infranya sempurna.

“Kita juga mahu harga tol itu juga diturunkan dengan harga yang lebih ‘mesra’ kepada penggunanya. Harga 12 sen untuk setiap satu kilometer itu agak tinggi dan membebankan pengguna LPT2 itu.

“Apatah lagi, pembinaan LPT2 itu turut menggunakan duit kerajaan negeri Terengganu sebanyak RM1.8 bilion secara tidak adil oleh kerajaan pusat,” tegasnya.

Sebelum itu, Sidang Dun Terengganu menjadi gamat dan riuh-rendah seketika antara wakil kerajaan dengan pembangkang apabila usul yang dikemukakan oleh Adun BN Air Putih itu disifatkan sebagai ‘pengacau’ usul sahaja.