Percubaan pembangkang Umno-Pas rebut kuasa, tiada kaitan penyatuan ummah

Ahmad Lutfi OthmanPiagam Muafakat Nasional Umno-Pas cuba menyuntik keyakinan palsu bahawa slogan “kerajaan sepenggal” adalah impian yang realistik.

Hanya kira-kira satu daripada empat pengundi Melayu dalam PRU14, Mei 2018, mengundi Pakatan Harapan. Walaupun sekadar mewakili 25 peratus pemilih Melayu di Semenanjung, ia sudah cukup untuk menumbangkan regim kleptokrasi Najib Razak, seterusnya membentuk kerajaan baharu.

Anggaran peratusan sokongan itu dikemukakan oleh badan pengkaji bebas Ilham Centre ketika banyak pihak mendakwa timbul keresahan menyeluruh terhadap prestasi Kabinet Dr Mahathir Mohamad, khususnya mengenai agenda Melayu-Islam.

Ia juga hadir sewaktu kerjasama politik pembangkang Umno-Pas hangat diperkatakan susulan termetrainya piagam Muafakat Nasional di PWTC baru-baru ini. Dalam himpunan tersebut, Timbalan Presiden Umno membayangkan kemungkinan empat negeri lagi bakal jatuh ke tangan BN-Pas dalam PRU15, iaitu Perak, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan, selain mempertahan Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang.

Andaian itu dibuat berdasarkan jumlah undi calon BN dan calon Pas disatukan mengatasi pungutan undi calon Pakatan Harapan. Manakala di peringkat Parlimen, lebih kurang 30 kerusi Dewan Rakyat yang dimenangi PH akan dikuasai BN, juga atas andaian yang sama.

Menjelang PRU14, Mei 2018, terjalin persefahaman strategik dalam kalangan pemimpin utama Pas-Umno, dengan mewujudkan pertandingan tiga penjuru, atas keyakinan undi pembangkang ketika itu akan berpecah dua. Justeru, BN dipercayai akan menang mudah, seperti ditunjukkan dalam dua PRK, iaitu Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak. Maka Pas meletakkan calon Parlimen paling ramai dalam sejarah, kira-kira 160 orang, iaitu melebihi dua pertiga jumlah kerusi. Sasarannya bukan untuk menang dan membentuk kerajaan, tetapi menjadi “king maker” memudahkan BN mengekalkan kuasa dan Pas menjadi komponen pemerintahan.

Bagaimanapun pemimpin Pas bersungguh-sungguh menafikan ada persefahaman tidak bertulis itu. Mereka menyifatkannya sebagai fitnah jahat dan percubaan untuk merosakkan reputasi parti Islam itu. Sedangkan banyak gerak, aksi dan sikap politik yang menunjukkan mesra-Umno, atau mempamerkan niat baik dengan kerajaan Najib Razak seperti dalam kes 1MDB dan Tabung Haji.

Sememangnya tiada faktor penentu yang kekal dalam setiap kali pilihan raya. Ia sentiasa berubah dan sukar dijangka. Ditambah sifat dinamik politik, apatah lagi selepas Mei 2018, dengan jumlah pengundi baharu yang berlipat kali ganda, unjuran pola mengundi turut ditentukan oleh situasi saat-saat akhir menjelang PRU15.

Pakatan pembangkang Umno-Pas adalah percubaan biasa untuk mengambil alih kuasa secara demokrasi apabila ia dirasakan peluang terbaik ketika PH masih dianggap kurang berpengalaman dan dikepung bagasi lama regim terdahulu.

Semasa kempen pilihan raya hangat berjalan sekitar dua tahun lalu, dua faktor utama dilihat mendominasi, iaitu ketokohan Dr Mahathir Mohamad dan personaliti Najib serta karenah isterinya, Rosmah Mansor. Sama ada Mahathir lebih disukai dan diterima sebagai penyelamat atau Najib dan Rosmah lebih dibenci serta ghairah ditarik turun oleh pengundi? Pertarungan sosok-sosok menarik ini mungkin tidak ketara lagi di hujung penggal Parlimen ke-15. Faktor pemboleh-ubah berlari pantas.

Sifir politik di atas kertas sering meleset. Enam belas bulan pemerintahan baharu memang kerap disalah-tafsir dan dimomokkan. Selain jentera penerangan rasmi gagal berfungsi dengan berkesan, asakan pembangkang dan pengaruh luar biasa media sosial tidak ditangani dengan baik; masa yang sama kesepaduan pemimpin PH nampak belum serasi dan kekurangan pengalaman turut menjadi penghalang. Jentera kerajaan juga dilihat sebagiannya tidak membantu usaha pentadbiran untuk membawa perubahan.

Piagam Muafakat Nasional Umno-Pas cuba menyuntik keyakinan palsu bahawa slogan “kerajaan sepenggal” adalah impian yang realistik. Sekali imbas, program di ibupejabat Umno itu memang kelihatan mendapat sambutan baik. Upaya Pas mengerah sokongan ahli-ahlinya sentiasa terbukti. Mereka taat menerima arahan biarpun hati tidak semestinya bulat patuh. Sesungguhnya jalinan kerjasama Umno-Pas ini sudah menempuh jalan yang panjang dan direncanakan dengan teliti sejak lama.

Ada penggeraknya yang berusaha keras selama satu dasawarsa lalu. Ketika pakatan pembangkang cuba dimantapkan, tetapi di sebalik tabir gerak persefahaman Pas-Umno tidak pernah berhenti. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat beberapa kali membuat teguran keras secara terbuka, termasuk “mahu meludah muka” pemimpin Pas yang tetap berhasrat berkomplot dengan Umno.

Namun ada pemerhati politik berpendapat, penerimaan ahli Pas tidak semudah itu. Meskipun sekian lama diasuh dengan prinsip “dengar dan patuh” terhadap keputusan parti atau jamaah, sebahagian pendukung Pas masih mampu berfikiran kritis. Mereka dapat mengimbau kenyataan-kenyataan bercanggah pemimpin mengenai kerjasama dengan Umno sekitar sepuluh tahun lalu. Ketika ada segelintir pemimpin mengingatkan percubaan Pas bekerjasama dengan Umno melalui pintu belakang kerajaan perpaduan, ia disifatkan fitnah melulu.

Malah pemimpin-pemimpin berkenaan “ditolak setandan” dalam pemilihan parti 2015, sekali gus dilabel “barua DAP, Anwarinas, tolak kepimpinan ulamak, munafik haraki” dan pelbagai istilah jelik. Kini, apabila “penyatuan ummah” dilancarkan secara terbuka, Pas berusaha membetulkan cerita, dengan mendakwa, suasana sudah berubah apabila Umno berada di posisi pembangkang. Menjadi fitrah oposisi berpakat sesama sendiri menentang parti pemerintah.

Belum luput ingatan kita, menjelang PRU14 yang kritikal itu, Pas mengambil sikap yang keras terhadap pembangkang, iaitu Bersatu, PKR dan DAP, tetapi sebaliknya mengambil pendekatan mesra-kerajaan. Sebagai parti baharu, Bersatu cuba memujuk Pas bagi membentuk grand coalition, namun gagal. Bukan sangat disebabkan faktor “hantu jadian” DAP tetapi kerana sudah “bermain mata” dengan Umno-Najib. Rujuk pendedahan Nik Abduh Nik Abd Aziz dalam rakaman sulit yang pada mulanya dinafikan tetapi disahkan apabila terbukti kesahihan audio itu oleh rakan sendiri.

Rupanya bukan sekadar ada penyokong akar umbi Pas yang mempersoal langkah politik ini, bahkan pemimpin negeri khususnya di Kelantan dan Terengganu, turut berbelah-bahagi. Mereka harus berkongsi kuasa atau memberi laluan buat Umno mengisi posisi penting dalam kerajaan negeri, tanda muafakat sedia terjalin. Sedangkan kejayaan gemilang Pas di dua negeri itu adalah milik mutlaknya.

Susulan termetrainya piagam Muafakat Nasional di PWTC baru-baru ini, Timbalan Presiden Umno membayangkan kemungkinan empat negeri lagi bakal jatuh ke tangan BN-Pas dalam PRU15 iaitu Perak, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan.

Justeru idea pembentukan kerajaan campuran bersama Umno di dua negeri itu, Kelantan dan Terengganu, ditolak majoriti pemimpin Pas. Bagi mereka, biarlah situasi sekarang kekal sehingga PRU15.

Soalnya, apakah Umno yang tertiarap kalah dalam PRU14 itu kini suatu parti yang insaf dan sedar dengan segala rekod kesalahannya sehingga ditolak rakyat, Mei tahun lalu? Bukankah masih gagah berdiri tokoh-tokoh lama Umno, yang terheret dan terpalit dengan kes-kes kecurangan salahguna kuasa, misalnya Zahid Hamidi dan Tengku Adnan Tengku Mansor? Malah Najib yang kini dilondeh satu persatu kes kecurian dana awam 1MDB di mahkamah tetap diangkat “bossku” dalam tiap himpunan Umno-Pas? Budaya korupsi yang berakar umbi disuburkan elit Umno tidak pernah diakui sebagai punca utama krisis besar negara dan tiada komitmen yang dipersetujui dalam piagam kerjasama pembangkang di PWTC itu bagi membanterasnya.

Piagam yang menggugurkan kalimah “penyatuan ummah” itu tidak dapat menyembunyikan kebimbangan Umno-Pas terhadap sokongan pengundi bukan Melayu; belum diperincikan lagi kerusi-kerusi di Sabah dan Sarawak. Lamaran awal Pas untuk “meminang” gabungan parti yang menguasai Bumi Kenyalang seperti ditolak. Pas dianggap beban. Sekutu lama Umno dalam BN, MCA awal-awal lagi mengingatkan realiti kemajmukan Malaysia. PRK Tanjung Piai sedia membuktikan kematangan pakatan Umno-Pas ini, khususnya ketika memilih calon untuk menentang PH.

Biarpun congakan di atas kertas mengunjurkan harapan tinggi kerjasama pembangkang ini untuk merampas 30 kerusi Parlimen daripada PH, namun suasana PRU15 pasti berbeda. Benar, rakyat akan menilai prestasi PH yang berbaki tiga setengah tahun lagi, tempoh yang relatif lama lagi. Pengundi juga akan membandingkan dengan rekod pemerintahan Umno-BN terdahulu. Kes-kes mahkamah yang sedang dan akan berjalan memudahkan lagi penghakiman rakyat.

Sebenarnya pakatan pembangkang Umno-Pas adalah percubaan biasa untuk mengambil alih kuasa secara demokrasi. Ia adalah peluang terbaik ketika PH masih dianggap kurang berpengalaman dan dikepung bagasi lama regim terdahulu. Sentimen bahawa PH pinggirkan agenda Melayu-Islam mungkin boleh mempengaruhi audien di peringkat awal ini, namun saya percaya majoriti rakyat lebih rasional dan berpandangan terbuka.

Golongan teramai tetap menghormati prinsip keadilan, keharmonian antara kaum, meraikan perbedaan. Asalkan tiada kes menjolok mata membabitkan rasuah, ketirisan, pembaziran, salahguna kuasa, nepotisme, pembolotan sumber, kezaliman, pencabulan undang-undang, penghinaan terhadap Islam, meremehkan martabat bahasa-bangsa. Dari segi masa, kelebihan dijangka di pihak PH. Itu pun bergantung kepada kejayaan merealisasikan agenda pembaharuan dan sistem penyampaian awam.

Barisan pembangkang, PH, menyertai PRU14 dengan “rekod bersih” kecuali satu dua bagasi Mahathir, manakala beban besar dipikul gabungan Umno-Pas terutama jika wajah Najib, Zahid dan Ku Nan masih bergentayangan dalam pilihan raya akan datang. Pemimpin Umno lainnya pun menunggu giliran untuk diselongkar kes masing-masing.

Secara peribadi, saya tidak pernah meremehkan eksperimen Umno-Pas ini. Mungkin benar, jika PRU15 diadakan hari ini, Pakatan Harapan berdepan masalah besar terutama untuk menguruskan persepsi rakyat. Namun, kerajaan yang berada di atas landasan betul ini mempunyai banyak kelebihan yang tertimbus. Dan tidak mungkin pengundi mahu kembali ke era lama, yang penuh kebobrokan dan ketempangan itu; sarat korupsi dan kronisme. Perang persepsi bukan segala-galanya. Namun rekod kerja yang bagus dan bersih harus diimbangi dengan penerimaan baik khalayak.

Veteran DAP, Lim Kit Siang mengulas pakatan Umno-Pas dalam satu tulisannya: “Ada yang mengatakan bahawa dalam politik, kombinasi 1+1 tidak akan menjadikan ia 2, ia mungkin akan menghasilkan pertambahan kepada 3 atau pengurangan kepada 1.

“Pemimpin Pas-Umno berharap bahawa gabungan mereka yang dimeterai Sabtu lalu akan menghasilkan nilai 3, tetapi ia mungkin akan hanya menghasilkan nilai 1 jika Pakatan Harapan berjaya membersihkan segala kekotoran hasil peninggalan selama enam dekad dan mula menunaikan janji Buku Harapan dalam tiga tahun terakhir menjelang PRU15.”

Pendek kata persaingan politik tambah menarik dengan gerak terbaru dua parti politik Melayu ini. Segalanya tidak mudah lagi buat inkumben, sepertimana dinikmati Perikatan-BN dahulu. Proses pendemokrasian meluas, kelas menengah tambah besar, urbanisasi kian melebar, masyarakat bermaklumat makin kritis. Demokrasi yang matang sedang diuji dengan pintu keterbukaan dan ketelusan. Bersediakah rakyat Malaysia mendakapnya?