Malaysia Dateline

Percukaian, tarif elektrik perlu dilihat semula

Polisi-polisi berkenaan bidang pertanian seperti percukaian dan tarif elektrik perlu dilihat kembali agar selari dengan hasrat kerajaan yang ingin memaju dan memodenkan bidang pertanian di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata polisi berkenaan perlu disemak dan dibincang semula sekiranya kerajaan mahu sektor itu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya akan adakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincang semula polisi-polisi ini.

“Ini adalah pandangan rakyat dan petani sendiri termasuk pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang meminta beberapa insentif percukaian diberikan kepada mereka untuk menghasilkan produk asas tani yang lebih maju,”katanya dalam sidang media selepas merasmikan Dialog Niaga Agrobank (DNA).

Salahuddin juga berkata agrobank hari ini berperanan membantu industri kecil terus berkembang menjadi industri besar sekaligus menggalakkan sektor-sektor swasta memasuki bidang pertanian.

Beliau juga menekankan dimana pada program Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018) yang lalu menyaksikan Ramlee dan Mydin menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang dilihat sebagai usahasama yang baik untuk menerokai pelbagai bidang akan datang.

“Dialog tahunan yang diadakan dapat melahirkan beberapa pendekatan dan idea baru dimana saya yakin kesempatan ini akan digunakan sebaik mngkin supaya agrobank dilihat berperanan dlm merancakkan pembangunan semua sektor yang melibatkan pertanian dalam negara.

“Jadi saya mementingkan bagaimana usahawan-usahawan perlu dibantu kerajaan untuk memajukan bidang ini dengan insentif cukai kerana kita mengimport bahan-bahan yang melibatkan alat perikanan, pukat, jaring, racun, dan baja,”katanya.

Beliau turut mengalu-alukan agrobank untuk menerokai pendekatan baru disamping memastikan aspek keuntungan dipelihara selain menjadi sebuah bank yang mesra rakyat terutama kepada golongan petani.

Turut hadir di majlis tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani   Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan; Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank  Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Pengerusi Majlis Penasihat Pertanian Negara  Tan Sri Abdul Rahman Mamat dan;  Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank   Syed Alwi Mohamed Sultan,