Malaysia Dateline

Perdagangan bebas, adil agenda Dr Mahathir di APEC, kata Menteri Luar

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangkakan akan mengusul agenda perdagangan bebas dan adil bagi negara ekonomi membangun di Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), kata Datuk Saifuddin Abdullah, lapor Malaymail.

Jelas Menteri Luar itu, Dr Mahathir ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura baru-baru ini, menyokong usaha perdagangan bebas tetapi memberi penekanan bahawa ia seharusnya adil kepada negara ekonomi membangun.

“Malah seruan beliau adalah bertujuan untuk memaklumkan kepada semua pihak bahawa terdapat tahap ekonomi berbeza di kalangan negara-negara ASEAN. Sesetengah pihak memandang bahawa ASEAN seperti EU (Kesatuan Eropah) di mana kesemua negara berada di tahap yang sama, tetapi ASEAN bukan seperti itu.

“Jadi anda boleh menjangkakan Tun akan membangkitkan isu yang sama di APEC ini,” kata Saifuddin ketika sidang media di ibu negeri Papua New Guinea, Port Moresby.

Dr Mahathir juga akan menyentuh tentang revolusi industri keempat, seiring dengan tema APEC 2018 iaitu, “Harnessing inclusive opportunities, embracing the digital future,” kata Saifuddin.

Dr Mahathir akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-26 hujung minggu ini di Papua New Guinea, antara negara termiskin di kalangan 21 negara APEC.

Antara lain, negara-negara APEC termasuk Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Mexico, New Zealand, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam, selain Malaysia.

Kali terakhir Dr Mahathir menghadiri mesyuarat berkenaan adalah pada tahun 2003 di Bangkok, Thailand.

Dr Mahathir juga akan menyampaikan ucaptama di Persidang Kemuncak APEC bertajuk, “Masa Hadapan Perkembangan Ekonomi,” bersama sektor perniagaan dari rantau Asia Pasifik.

Dr Mahathir turut dijadualkan untuk bertemu dengan “APEC Business Advisory Council” dan menyertai Dialog Pemimpin APEC bersama Pemimpin Kepulauan Pasifik.

Manakala bagi perbincangan dua hala, Dr Mahathir akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Papua New Guinea, Peter O’Neill, Perdana Menter Kanada, Justin Trudeau dan Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam.

Kata Saifuddin, Dr Mahathir juga akan bertemu dengan ahli “United States Business Coalition”.

Dr Mahathir turut dijadulkan untuk mengadakan lawatan ke Masjid Hohola, yang didirikan pada tahun 2001 khas buat komuniti Muslim di negara tersebut, tambah Saifuddin.

“Tun ialah individu penting bagi pembinaan masjid berkenaan,” jelas Saifuddin.

Kata beliau, Malaysia telah berjanji untuk menyumbang kepada masjid tersebut.

“Yang menariknya, berdasarkan Persatuan Islam Papua New Guinea, pada asalnya tanah tersebut ditawarkan kepada Dr Mahathir bagi tujuan untuk pembinaan masjid pertama di negara tersebut.”