Perdana Menteri ke-7 angkat sumpah 9.30 malam ini

Tun Mahathir ke Istana Negara menaiki kereta model Proton dengan nombor pendaftaran proton 2020.

Setelah melalui beberapa jam yang mendebarkan, calon perdana menteri ketujuh negara, Tun Dr Mahathir Mohamad di jadual mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada malam ini, lapor Bernama.

Media tempatan juga melaporkan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor juga akan mengadap Agong bagi membincangkan proses peralihan kuasa.

Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali tiba di Istana Negara petang tadi dengan kereta limosin Proton Perdana berwarna hitam metalik dengan nombor plat “Proton 2020”.

Tun Mahathir juga ditemani para pemimpin parti komponen PH iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan Istana Negara petang tadi, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz berkata, Istana Negara telah menerima keputusan rasmi pilihan raya umum (PRU) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada jam 2.45 petang tadi.

Istana Negara juga, tambah beliau telah menerima surat daripada parti-parti komponen Pakatan Haapan (PH) pada jam 1.38 petang yang menyokong perlantikan Tun Mahathir sebagai perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong selepas meneliti dokumen-dokumen terbabit, jelasnya telah bertemu para pemimpin parti komponen PH iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu pada jam 5 petang di Istana Negara.

Setelah menemubual para pemimpin PH itu dan mendapatkan pandangan mereka, baginda memutuskan untuk menjemput Tun Mahathir bagi membentuk kerajaan persekutuan bersesuaian dengan Artikel 43(2a) Perlembagaan Persekutuan.

“Baginda memperkenankan majlis angkat sumpah Tun Mahathir sebagai perdana menteri pada jam 9.30 malam ini,” kata Wan Ahmad.

Istana Negara juga, tegas beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Yang di-Pertuan Agong sengaja melambat-lambatkan perlantikan Tun Mahathir sebagai perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong, katanya menjalankan tugas dan fungsi baginda dengan jujur bersesuai dengan perlembagaan persekutuan dalam melantik Tun Mahathir sebagai perdana menteri.

“Yang di-Pertuan Agong menyokong penuh dan menghormati proses demokrasi dan harapan rakyat baginda,” kenyataan itu dipetik.

Baginda juga, tambah Wan Ahmad akan bekerjasama dengan Tun Mahathir dan pentadbirannya bagi kebaikan negara dan rakyat.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote