Malaysia Dateline

Perdana Menteri Norway didenda gagal patuhi SOP

Perdana Menteri Norway Erna Solberg telah didenda pihak polis berikutan beliau gagal mematuhi SOP COVID-19 Jumaat lalu.

Pada bulan lalu, beliau telah menganjurkan pertemuan keluarga bagi meraikan ulang tahunnya ke-60 bersama 13 ahli keluarga di sebuah resort gunung akhir Februari.

Erna Solberg memohon maaf atas kesilapannya itu kerana kerajaan telah melarang mengadakan perhimpunnan melebihi dari 10 orang,

Menurut polis, sebagai perdana menteri beliau merupakan orang penting dan berada di barisan hadapan dalam tugas pemerintahan sewajarnya mematuhi undang-undang.

“Walaupun undang-undang adalah sama untuk semua, semua tidak sama di depan undang-undang.

“Oleh itu, adalah tepat untuk mengeluarkan denda untuk menegakkan kepercayaan masyarakat umum terhadap peraturan mengenai larangan sosial,” kata polis dipetik Reuters.

Jelas polis Solberg dan suaminya, Sindre Finnes, membuat keputusan bersama untuk mengadakan perayaan dan memilih restoran itu.

Solberg, yang menghadapi pemilihan parlimen pada bulan September, telah memperjuangkan peraturan ketat untuk mengekang penyebaran COVID-19, yang mengakibatkan beberapa angka jangkitan dan kematian terendah di Eropah.

Tetapi negara itu menyaksikan peningkatan jangkitan yang pesat pada suku pertama 2021, yang dipimpin oleh varian virus yang lebih menular, memaksa pemerintah untuk mengetatkan sekatan pada akhir bulan Mac.