Perdana Menteri sahkan tiada pemakluman peletakan jawatan YDP Agong

Perdana Menteri sahkan tiada pemakluman peletakan jawatan YDP Agong
(Daari kiri)Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad bersama YDP Agong Sultan Muhammad V berkenan beramah mesra dengan Dr Mahathir selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ketujuh di Istana Negara pada Mei tahun lalu.-Bernama.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pihaknya tidak mendapat sebarang pemakluman berkaitan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Katanya, setakat diketahui, baginda telah memulakan semula tugasnya selepas dua bulan beristirahat.

Saya ada dengar khabar angin ini (permintaan agar Yang di-Pertuan Agong lepaskan jawatan) tapi saya tak mahu bercakap tentang ini.

“Setakat yang saya tahu (baginda telah kembali menjalankan tugas),” katanya dalam sidang media di Yayasan Al- Bukhary, di Kuala Lumpur hari ini dipetik sinaronline.

Semalam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Gagasan Tiga Malaysia (G3) meminta supaya pihak berkuasa menyiasat desakan supaya Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V melepaskan jawatan.

Pengerusi G3, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, spekulasi yang semakin menular dalam kalangan rakyat menerusi media sosial sejak beberapa hari lalu meresahkan rakyat.

Ketika di minta mengulas mengenai laporan media berhubung Majlis Raja-raja Melayu dilapor bermesyuarat di Kuala Lumpur malam tadi, Dr Mahathir berkata, ia terpulang kepada raja-raja.

Memetik sumber, The New Straits Times (NST) hari ini mengesahkan mesyuarat tidak rasmi berlangsung susulan tamatnya tugas Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai pemangku Agong.Tidak seperti mesyuarat biasa, menurut laporan itu, tiada keperluan untuk perdana menteri dan pegawai kerajaan lain hadir.