Perdana Menteri tidak terlibat penentuan tempat duduk Istiadat Pertabalan

Perdana Menteri tidak terlibat penentuan tempat duduk Istiadat Pertabalan

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak terlibat dalam penentuan kedudukan tempat duduk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Negara semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Selasa lepas.

Perdana Menteri berkata urusan berkaitan kedudukan tetamu dan jemputan ke istiadat itu dikendalikan pihak Istana Negara.

“Saya tidak tahu dan saya tak nampak apa-apa pun, itulah tempat dia kot. Itu istana punya kerja bukan saya,” katanya kepada media di sini selepas menghadiri Majlis Jamuan Malam Amal dan pelancaran Tabung Jasamu DiKenang Ex-Kota Bharu Teacher’s College, di sini, malam ini.

Dr Mahathir ditanya mengenai dakwaan Najib bahawa beliau tidak dapat hadir ke istiadat itu setelah menerima panggilan pada 6.30 pagi bahawa tempat duduknya yang sepatutnya di tempat ke-10 sebagai bekas perdana menteri mengikut protokol istiadat ditukar pada saat akhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang.

Menurut Najib, pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas perdana menteri tidak sama dan beliau tidak sempat untuk mengambil pakaian istiadat Orang Besar Pahang dari Pekan, Pahang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang Pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, dilaporkan berkata tempat duduk Najib pada istiadat itu telah ditetapkan dan tidak dialihkan pada saat akhir seperti didakwa.