Malaysia Dateline

Perdana Petroleum peroleh kontrak sewaan kapal RM17.7 juta daripada Dayang Enterprise

Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB), anak syarikat milik penuh Perdana Petroleum Bhd (PPB) menerima surat lantikan bagi menyewa dua unit kapal apung penginapan pekerja (AWB) kepada Dayang Enterprise Sdn Bhd (DESB) yang bernilai RM17.7 juta.

DESB ialah anak syarikat milik penuh Dayang Enterprise Holdings Bhd (Dayang), yang merupakan pemegang saham utama PPB.

PBB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata AWB pertama akan disewakan bagi tempoh 120 hari dengan pilihan lanjutan, bermula 29 Mac, 2019.

“AWB kedua akan disewakan bagi 200 hari dengan tempoh pilihan 15 + 15 hari dan kontrak berkuat kuasa mulai 1 April, 2019.

“Sewaan kapal itu berkait dengan kontrak yang diperoleh DESB,” kata syarikat tersebut.

PBB Group berkata operasi kapal sokongan luar pantainya (OSV) melengkapi operasi Dayang dan kumpulan syarikatnya yang aktiviti utamanya adalah menyediakan perkhidmatan penyenggaraan kapal luar pantai, kerja pasang siap kecil-kecilan dan perkhidmatan penyambungan dari telaga luar pantai dan pengoperasian.

“Sewaan kapal itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara Dayang Group dan PPB Group, di mana penggunaan kapalnya boleh dimaksimumkan dan layak untuk membida lebih banyak kerja-kerja penyenggaraan luar pantai,” kata syarikat tersebut.

— BERNAMA