Peremajaan Umno suatu sembang dari ‘Longkang’

Dalam tempoh hampir 6 tahun kebelakangan sejak Umno  tersentak dengan kebangkitan rakyat pada PRU-13. ‘Berbuih Mulut’ kedengaran apabila berkumandang saban tahun pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) berkenaan dengan suatu ungkapan yang menjadi ‘angan-angan Mat Jenin’ juak-juak “Cash is King” Umno khusunya dalam kalangan akar umbi dan Pemuda Umno.
.
Ungkapan tersebut ialah ‘Peremajaan Parti’ (Umno), dalam erti kata pernyataan penuh ‘harapan’ bagi merombak dan menolak kepimpinan korup (Najib Razak & Co.) termasuk memberi peluang kepada muka baharu yang ikhlas berjuang utamanya dalam kalangan anak muda agar suatu rejuvenasi mampu dilakukan kononnya demi membawa impak kepada rakyat.
.
Ungkapan itu sejak dari kebangkitan rakyat ‘Fasa II’ lalu (tanpa kewujudan Bersatu/PPBM), yang juga pada suatu sisi inginkan pembaharuan dan perubahan (mungkin dari dalam Umno sendiri) semakin hari kelihatan hanya sekadar ungkapan ‘pemuas nafsu’ dan telahpun hanya menjadi ‘mantra kosong’.
.
Ianya sekadar untuk mendapat sorak-sorai dan nampak gah ‘berdentum-dentam’ mendesak, walhal medan melobi kepentingan dan keuntungan diri bila berucap di ‘kononnya’ pentas keramat yang menjadi ‘sesi luahan perasaan’ semata-mata, tak lebih langsung untuk mampu membawa suara ramai dari dalam kalangan Umno sendiri apatah lagi hingga ke jagat Melayu dan masyarakat Malaysia umumnya.

Umno kini di bawah rejim Najib Razak, jauh sekali seperti Umno suatu masa dahulu yang melalui kepimpinannya pernah berjasa buat warga Malaysia melalui bapa-bapa terdahulu.

Kini Umno lebih sinonim sebagai sebuah parti yang telah pun membusuk kesan nanah rasuah dan kini lebih terkenal dengan jolokan parti ‘Kleptokrasi’.

Penerimaan Umno memasukkan semula Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam ‘kesebelasan utama’ Umno khususnya dalam angan-angan mengambil-alih semula Selangor yang kini diurus-tadbir baik di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah pernyataan jelas bahawa ‘peremajaan Umno hanyalah sembang dari longkang’.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib umum maklum adalah antara dalam kalangan ramai pemimpin ‘elitis’ Umno yang terpalit dengan jenayah rasuah. Jadi penerimaan masuk semula beliau ke dalam Umno adalah ibarat ‘Sirih Pulang Ke Gagang’ antara perasuah dangan parti perasuah dan sememangnya ianya baik bagi Pakatan Harapan yang kini turut ditunjangi PPBM dalam usaha membawa angin perubahan demi rakyat Malaysia.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib (kanan) bersama Datuk Seri Mohd Najib Razak (tengah) dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dalam media sidang khas yang diadakan di Menara Dato Onn pada Ahad

Kemasukan beliau juga ternyata adalah merupakan ‘liabiliti’ bagi Umno khususnya di Selangor yang akan menjadi medan pertembungan ‘Warlord-Warlords’ di Selangor bagi mengaut hasil kekayaan bumi Selangor yang kini di bawah Azmin Ali telahpun mencapai rizab sejumlah RM4bilion. Pasti ramai yang ‘merah mata’ dengan kemasukan kembali beliau, dan kita bersyukur atas percaturan silap ini.

Kerana sememangnya Pakatan Harapan seluruhnya dalam proses pemutihan dan ini lebih baik dalam kita menjelang PRU14. Mungkin ini pada Umno seakan ‘menggoyahkan’ Pakatan Harapan. Namun bacaan politik Najib yang kononnya satu perlakuan ‘psywar’ hanyalah memakan diri.

Umno juga berdepan dengan pemilihan parti, kita tidak dapat menolak bahawa dengan kemasukan ‘Mike Tyson’ ini pasti membuatkan ramai dalam kalangan MT Umno  juga tak senang duduk kerana ‘sama jahatnya’ dan harapan masing-masing samada mempertahankan kedudukan atau merebut kedudukan akan membawa Umno lebih ke lembah kehancuran.

Apa yang pasti, Umno dengan kepimpinannya hari ini membuktikan jelas dibarisi golongan ‘Warlord’ yang susah untuk dijatuhkan. Maka permainan wang, rasuah dan segala macam skandal salah guna kuasa hak dan kepentingan rakyat akan terus sebati sebagai ‘Roh Perjuangan Umno’.

Lihat sendiri pada sidang media Najib Razak yang mengumumkan kemasukan semula ‘Mike Tyson’, dalam gambar yang tular, tiap yang berdiri itulah kepimpinan utama Umno. Para ‘Warlords’ Umno! Tunjukkan di mananya ‘SUARA ANAK MUDA’? Yang nyata wajah dalam kalangan Umno yang membarisi segala urusan adalah ‘muka recycle’ dan terpalit dengan kes rasuah.
.
Inilah bezanya Umno dengan PPBM dari sudut perjalanan dan perlembagaannya. Sejak penubuhan PPBM, dan harus menjadi kemestian dalam perjuangannya, jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi mestilah turut dibarisi suara anak muda.
.
Dalam PPBM terdapat seramai 4 orang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi  di bawah usia 35 tahun! Yang terlibat dan bertindak membawa halatuju parti demi perjuangan rakyat. Malah dalam Pakatan Harapan seluruhnya, anak muda juga terlibat dalam merencana manifesto dalam memastikan suara anak muda benar didengari!.
.
Ini menunjukkan bukan sahaja PPBM malah Pakatan Harapan seluruhnya benar dan ikhlas memperjuangkan rakyat dan membawa angin perubahan! Bukan suatu omongan kosong malah diangkat dengan jelas dan ketara peranan anak muda!
.
Dengan ini, secara mudahnya Umno wajar ditolak pada PRU akan datang. Bukan sahaja agenda TN50 hanya mainan politik. Umno ternyata tidak relevan lagi khususnya bagi orang muda dan juga semestinya buat mereka yang benar cintakan pertiwi dan perjuangan memartabat Agama, Bangsa dan Tanahair.

 

*Penulis Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah Exco Armada merangkap SUK dan Perhubungan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)