Malaysia Dateline

Pergaduhan kaum di Gurun dan Kuala Ketil berita palsu

Polis hari ini menafikan berlakunya pergaduhan kaum antara Melayu dengan India di Gurun dekat Kuala Muda dan Kuala Ketil dekat Baling seperti yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Abd Rahim Jaafar menegaskan tiada sebarang kejadian pergaduhan antara kaum itu dengan keadaan di kedua-dua kawasan berkenaan selamat, aman dan sejahtera.

“Adalah dimaklumkan, penyebaran gambar dan mesej berkenaan wujudkan ketegangan kaum ini adalah tidak benar sama sekali…penyebaran berita palsu ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kegusaran dan ketakutan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Abd Rahim menasihati orang ramai supaya menghentikan perbuatan menyebarkan berita atau maklumat palsu dalam media sosial kerana ia boleh mencetuskan sentimen perkauman dan menggugat keselamatan serta keamanan negara.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu itu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

— BERNAMA