Malaysia Dateline

Pergerakan antara zon kekal tidak dibenarkan di Sarawak

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan pergerakan antara zon di Sarawak kekal tidak dibenarkan berikutan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disambung bermula 2 hingga 15 Mac ini.

JPBN berkata, penguatkuasaan Operasi Prosedur Standard (SOP) yang dikeluarkan semalam adalah melibatkan 19 zon di negeri ini.

“Pergerakan antara zon adalah tidak dibenarkan kecuali bagi Perkhidmatan Perlu dan mendapat kelulusan permit daripada pihak polis.

“Manakala bilangan penumpang dalam kenderaan persendirian adalah mengikut kapasiti kenderaan. Namun individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

“Bagi aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi,” kata JPBN dalam satu kenyataan.

Jelas JPBN lagi, SOP juga menetapkan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, feri, kapal terbang, teksi atau e-hailing dan lain-lain pengangkutan awam dibenarkan beroperasi dengan waktu ditetapkan dan berdasar kapasiti kenderaan.

“Untuk perkhidmatan penghantaran makanan turut dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam sepanjang tempoh PKPB.

“Sementara, perniagaan ekonomi dan industri dibenarkan beroperasi seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan.

“Malah, pasar raya, pusat beli belah dan Retail Store dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan antara 6.00 pagi hingga 10.00 malam,” tambah JPBN.

JPBN juga memberitahu restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck ), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, gerai makan tepi jalan atau kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 10.00 malam dengan pematuhan kepada SOP Sektor Makanan.

“Operasi pasar harian, pasar borong, pasar tani, pasar malam dan Bazar Larut Malam (uptown, downtown dan seumpamanya) adalah mengikut waktu mula operasi mengikut lesen/permit sehingga 10.00 malam dengan pematuhan SOP dan pengawasan pihak berkuasa serta anggota RELA,” tegas JPBN.

Bagaimanapun ujar JPBN, operasi pasar tani, pasar malam dan Bazar Larut Malam (uptown, downtown dan seumpamanya) bagi zon yang diisytiharkan sebagai merah adalah tidak dibenarkan.

PKPB dilaksanakan di 19 zon di Sarawak melibatkan Zon Kuching (Bahagian Kuching, Bahagian Samarahan dan Bahagian Serian), Zon Sri Aman (Bahagian Sri Aman), Zon Sarikei (Bahagian Sarikei dan Bahagian Betong), Zon Mukah (Bahagian Mukah), Zon Bintulu (BahagianBintulu), Zon Miri (Daerah Miri), Zon Beluru, (Daerah Beluru), Zon Subis (Daerah Subis), Zon Bekenu (Daerah Bekenu), Zon Telang Usan (Daerah Telang Usan) dan Zon Marudi (Daerah Marudi).

Zon lain PKPB ialah Limbang (Bahagian Limbang), Zon Sibu (Daerah Sibu), Zon Kanowit (Daerah Kanowit), Zon Selangau (Daerah Selangau), Zon Kapit (Daerah Kapit), Zon Song (Daerah Song), Zon Belaga (Daerah Belaga) dan Zon Bukit Mabong (Daerah Bukit Mabong).