Pergeseran Anwar dan Azmin: Muhyiddin harap sesuatu yang positif

Pergeseran Anwar dan Azmin: Muhyiddin harap sesuatu yang positif

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sentiasa berdoa dan berharap dapat melihat sesuatu yang positif di sebalik pergeseran berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Susulan pergeseran antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Pagoh itu berharap agar ianya akan berakhir nanti.

“Semestinya isu berkenaan tidak baik untuk pihak kami, kerajaan dan juga masyarakat di negara ini. Jadi, biarkan mereka sejuk dahulu dan kita teruskan berdoa,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Mohd Rashid Hasnon pula berharap, persahabatan Anwar dan Azmin harus dikekalkan kerana banyak lagi kerja yang perlu dibangunkan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Saya turut berasa sedih atas apa yang berlaku pada ketika ini. Kedua-duanya (Anwar dan Azmin) berjiwa besar dan mereka sepatutnya bersatu.

“Kami masih berharap Anwar dan Azmin mengadakan pertemuan untuk berbincang perkara ini,” katanya yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat.