Malaysia Dateline

‘Pergi bazar boleh, buka Parlimen pun mestilah boleh’

Ketika ini hampir kesemua menteri di dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk Ahli-ahli Parlimen pembangkang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun sehingga hari ini, Parlimen masih belum dibuka dalam keadaan bazar-bazar Ramadan telah pun dibenarkan beroperasi.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, seharusnya sudah tiada lagi masalah untuk Parlimen bersidang kerana kebanyakan menteri sudah pun menerima kedua-dua dos suntikan imunisasi itu.

“Kebanyakan menteri telah menerima kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19, jadi tiada masalah lagi untuk membuka sidang Parlimen.

“Tua atau tidak, data dan sains boleh bagi jaminan.

“Kalau boleh pergi bazar tu, Parlimen mestilah lagi boleh kan Mr Perdana Menteri?,” soalnya dalam satu hantaran Twitter terbarunya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kunjungan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan singgah ke bazar Ramadan untuk meninjau keadaan peniaga dan kepatuhan mereka terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Untuk rekod, persidangan Dewan Rakyat telah digantung oleh Muhyiddin sejak Januari lalu sepanjang tempoh pengisytiharan darurat dikuatkuasakan sehingga Ogos tahun ini.

Tindakan berkenaan ditentang banyak pihak dengan beberapa individu di blok pembangkang telah menubuhkan satu jawatankuasa merayu Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat.

Jawatankuasa berkenaan berjaya mengumpulkan hampir 20,000 tandatangan rakyat Malaysia yang menentang tindakan kerajaan dan dilaporkan senarai tersebut telah pun dihantar ke pihak istana sebelum Ramadan.