Pergiat usaha untuk tingkatkan ekonomi ahli koperasi di Johor

Sheikh ‘Umar Ali sedang menandatangani buku laporan di Kopeti Bandar Penawar.

Kerajaan Negeri Johor melalui Exco Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali telah memberi pandangan untuk menggalakkan ahli koperasi bergerak secara lebih serius.

‘Umar berkata ketika lawatan di Bandar Koperasi (Coop City) yang merupakan bandar koperasi pertama di Asia Tenggara di Bandar Penawar Johor di bawah kelolaan Koperasi Pengerang Kota Tinggi (Kopeti).

Dalam kenyataan beliau, ‘Umar berkata, pihak kerajaan hari ini akan terus membantu koperasi yang mahu bergerak secara serius dalam perniagaan berskala tinggi (high end business).

“Koperasi ada potensi besar untuk meneroka idea baru dan lebih mencabar. Sudah tiba masanya koperasi melibatkan diri dalam industri binaan, pembangunan bandar dan sebagainya.

“Kopeti antara contoh terbaik di mana ia telah memulakan langkah yang proaktif menerusi projek Coop City dan ia telah disambut baik oleh pihak kerajaan negeri sejak mula.

“Coop City di bandar Penawar bakal membangunkan 640 unit buah rumah dan rumah kedai. Ini akan memberi manfaat kepada ahli yang bernaung di bawah Kopeti kerana keuntungan koperasi itu akan diagihkan kepada ahli mereka secara dividen,” jelas ‘Umar.

Dalam pada masa yang sama, beliau berpendapat agar ahli koperasi lain di negeri Johor dapat menyokong penuh usaha koperasi yang disertai mereka untuk lebih berdaya saing.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan berusaha untuk membantu koperasi yang ingin berdaya saing seperti yang digalakkan beliau.

“Kita akan mengembleng tenaga bersama-sama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membantu koperasi-koperasi seperti Kopeti ini.

“Galakan kepada koperasi di Johor ini untuk membangun akan dipergiatkan bagi membawa koperasi untuk bersama dalam pembangunan yang pesat di negeri ini,” kata Sheikh ‘Umar lagi.

Dalam lawatan seharian ke Bandar Penawar itu, beliau turut diiringi Pengarah SKM Negeri Johor, Mahmud Kadar, pihak Kopeti, pihak Angkasa dan pihak Kejora.