Perginya lagenda boria negara

Perginya lagenda boria negara

Pada Khamis 18 Ogos genaplah seminggu lagenda boria Sungai Pinang, Pulau Pinang Allahyarham Pak Piee atau nama sebenarnya Shafiee Jaafar meninggalkan kita pada malam Jumaat minggu lalu.

Beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Telok Bahang , Pulau Pinang selepas solat Jumaat dan solat jenazahnya dihadiri ribuan jemaah di masjid pada 13 Ogos 2016 lalu.

Alhamdullillah penulis sempat tiba jam 1.07 tengahari sebelum solat Jumaat di Masjid Telok Bahang dimana jenazah telah pun berada di dalam masjid ketika itu.

Di luar dan perkarangan masjid ramai telah tiba untuk berziarah dan juga untuk menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah.
Kelihatan agak ramai juga pegawai dan anggota PDRM yang beruniform turut hadir mungkin kerana Allahyarham yang baik dengan semua pihak dan juga amat diminati oleh segenap lapisan masyarakat.

Pengamatan penulis ialah begitu ramai golongan berusia sezaman dengan Allahyarham hadir dari luar Telok Bahang semata-mata kerana menghormati Allahyarham sebagai lagenda boria negara yang suatu ketika dahulu amat terkenal bila bergandingan bersama Allahyarham Pak Maidin dan Allahyarham Pak Daud Ibrahim dalam kumpulan Boria Sungai Pinang.

Allahyarham mula berkarier sebagai penyanyi dalam sebuah kumpulan pancaragam Gurindam Hiburan Parti, di Sungai Petani Kedah. Pada tahun 1961 Allahyarham ke Pulau Pinang dan menjadi ahli kumpulan boria Sungai Pinang bersama beberapa legenda boria lain termasuklah Pak Daud Ibrahim.

Pada tahun 1963, Allahyarham Pak Maidin menggamatkan lagi boria Sungai Pinang bila menjadi ahli kumpulan tersebut.

Boria yang dipelopori oleh Allahyarham di mulakan dengan babak sketsa yang penuh denga isi dan unsur pendidikan kerana bagi Allahyarham, penulis percaya , beliau mengkaji siapa penontonnya terlebih dahulu dan secara spontan akan mengisinya dengan perkara dan isu semasa yang relevan dengan penonton sekalipun di penuhi hilai ketawa penonton tetap kadang kadang pedih telinga mendengarnya.

Tidak ubah seperti filem filem Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee yang terus relevan hingga ke hari ini.

Allahyarham Pak Piee boleh lah di anggap genius dalam bidangnya kerana sentiasa dapat memfokuskan kepada isu semasa yang amat relevan dan dapat dikaitkan dengan penontonnya yang berakhir dengan lawaknya memberikan kesan mendalam kepada penonton bukan semata mata hiburan kosong.

Nilai sebegitulah barangkali cuba di bincangkan dalam konteks berbeza iaitu dunia perniagaan oleh artikel yang bertajuk, “The elements of value” oleh majalah Harvard Business Review keluaran bulan September 2016 yang kini telah pun berada di pasaran.

“These elements (of value) fall into four categories: functional, emotional, life changing and social impact’’ (rujuk mukasurat 48 , Harvard Business Review, September 2016).

Isi lawak jenaka Allahyarham sebenarnya mempunyai kesemua keempat empat elemen nilai yang disebut diatas.

Semasa hayatnya Allahyarham Piee juga pernah merakamkan albumnya berjudul Hijau Kuning yang pernah terjual lebih 200,000 unit.Justeru, minda Allahyarham boleh disimpulkan sebagai minda genius setaraf mungkin cara pemikiran Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee.

Sebenarnya sejarah penulis mengenali Allahyarham bermula di era lewat tahun 70-an di mana ketika itu penulis masih lagi bersekolah rendah di St Xaviers Institution Pulau Pinang dimana penulis tinggal di berek polis Beach Street dan akan berjalan kaki ke sekolah dimana setiap hari akan melalui Bishop Street untuk pergi dan balik sekolah.

Bishop Street adalah lokasi di mana Allahyarham bertugas sebagai penjaga lift sebuah bangunan memakai uniform kelabu. Ketika itu Allahyarham sudah amat terkenal dengan kumpulan boria Sungai Pinang nya jadi ramai akan serta merta menegur atau mengusik Allahyarham bila saja ternampaknya bertugas dan di sambut oleh Allahyarham secara spontan dengan pelbagai aksi menghiburkan.

Sederet dengan bangunan Allahyarham bertugas juga ialah pejabat asal mendiang Karpal Singh.

Puluhan persembahan boria Allahyarham sempat penulis tonton di zaman lewat 70-an sama ada di Dewan Sri Pinang atau Padang Kota Lama.

Aksinya di padang kota biasanya di atas lori yang di ubah suai menjadi pentas bergerak untuk sketsa dan juga lagu persembahan boria sungai pinang yang sarat dengan isi yang berfaedah.

Siapa boleh lupa usikan Piee pada Maidin tentang kulit Maidin yang gelap dan dibalas oleh Maidin dengan hidung Piee yang agak lain dari biasa. Muncul sahaja keduanya di pentas, sebelum mereka membuka mulut pun, penonton dah riuh rendah ketawa secara spontan.

Justeru itu jugalah kumpulan boria Sungai Pinang menjadi juara Pertandingan Akhir Dendang Rakyat selama tujuh tahun berturut turut dimana salah satu tahun di adakan di Dewan Sri Pinang Pulau Pinang dan di siarkan secara langsung di kaca televisyen seluruh negara.

Sebelum siaran langsung bermula, muncul juruhebah dan pembaca berita RTM yang terkenal ketika itu, Hashim Embi meminta penonton dalam Auditorium bertepuk tangan sekuatnya ketika di minta sewaktu, ‘on-air’ sambil mengingatkan ‘boyfriend’ untuk melepaskan tangan ‘girlfriend’ masing-masing yang di sambut dengan gelak ketawa penonton sejurus sebelum ke udara di kaca televisyen.

Allahyarham ketika menerima rawatan di hospital dan beliau disahkan meninggal dunia kerana sakit tua pada usianya 85 tahun.

Allahyarham Pak Piee, Pak Maidin, Pak Daud Ibrahim dan rakan rakan berjaya menjadi juara Pertandingan Dendang Rakyat tahun berkenaan dan seterusnya untuk tujuh tahun berturut turut sehingga ada kumpulan boria berkata mereka tidak ingin mengambil bahagian dalam Pertandingan Dendang Rakyat selagi ada kumpulan boria Sungai Pinang.

Pada tahun ke lapan menyaksikan Allahyarham yang meninggalkan kumpulan berkenaan.

Pertandingan Dendang Rakyat juga turut di sertai oleh pelbagai jenis kumpulan kebudayaan lain seperti dikir barat dan dondang sayang.

Justeru sebab ada kepelbagaian semasa siaran langsung pertandingan akhir berkenaan mungkin menjadi antara program terpanjang hiburan dalam kategori siaran secara langsung televisyen ketika itu.

Di awal 80-an ketika Malaysia baru beberapa tahun menerima siaran televisyen berwarna, Allahyarham Pak Piee pernah muncul bersama Allahyarham Datuk Ahmad Daud dalam satu program hari raya di mana Allahyarham Pak Piee mengubah suai lagu dendangan R Azmi , Terkenang Semasa Dulu, menjadi…..”terkenang semasa dulu, Ahmad Daud bakar bahulu, tangannya penuh berbulu…..”

Allahyarham Pak Piee juga terkenal sebagai penyanyi ditahun 60an yang gemar atas sebab tersendiri mendendangkan lagu , Di mana ku cari ganti ciptaan Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee yang dimuatkan dalam filem yang memenangi pelbagai anugerah antarabangsa, Ibu Mertuaku.

Beberapa tahun lalu, Allahyarham Pak Piee pernah muncul di kaca televisyen mendendangkan lagu Kisah dan Tauladan dendangan asal A Halim dalam versi senikata yang di ubah suainya sendiri di samping Allahyarham Pak Maidin menjerit, “Punggah…..”.
Gandingan mereka juga terkenal dengan usikan lagu lagu pilihan untuk kes kes putus cinta dengan mengatakan, “, ni kalu nyanyi,….Harapan Kechewa (lagu popular dendangan Datuk Ahmad Jais ketika itu).

Menerusi temubual yang dibuat sebelum Allahyarham meninggal, Allahyarham berkata yang beliau kini mahu berehat sebab ramai kawan kawan beliau pun dah tak ada sekalipun pernah juga muncul dengan amat menghiburkan di pentas boria sahabat beliau En Hashim Omara , Allahyarham Pak Piee sempat juga merujuk pada Arwah Pak Maidin yang telah tiada semasa persembahan berkenaan.

Album Hijau Kuning yang diterbitkan oleh Pak Hashim Omara telah terjual lebih 200,000 unit dan lagu boria dendangan Allahyarham Pak Piee bersama Allahyarham Pak Maidin dan Allahyarham M Shariff yang bertajuk, “Skim Cepat Kaya” menjadi hangat serta merta dan kini boleh di tonton di youtube.

Filem filem loghat utara lakonan Allahyarham bersama rakannya Allahyarham Pak Piee turut berjaya menjadi pecah panggung mungkin kerana komedi selamba bersahaja penuh isi Allahyarham.

Perbualan penulis dan seorang rakan En Wahab dengan anak Allahyarham Pak Piee secara kebetulan di tempat letak kereta Masjid Telok Bahang selepas pengkebumian selesai di mana ketika itu penulis baru selesai membersihkan selut dikasut dan seluar di tempat wudhu Masjid semasa membantu menurunkan Allahyarham ke liang lahad, Puan Subariah memberitahu yang Allahyarham Pak Piee pergi dengan tenang selepas diberikan minum menggunakan sudu pada malam jumaat minggu lepas.

InshaaAllah semoga roh Allahyarham Pak Piee, Pak Maidin, Pak Daud Ibrahim dan rakan rakan asal boria Sungai Pinang yang telah pergi di cucuri rahmat dan di letakkan bersama mereka yang beriman dan beramal Solih.

Allahyarham Pak Piee sempat menerima sedikit pengiktirafan walaupun tidak setimpal dengan jasa beliau terhadap masyarakat daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Perlancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui anugerah Tokoh Seni Budaya Pulau Pinang 2015. Innallillahi Wa Inna Illahi Rojiun.

Majulah seni budaya bangsa, usahakan sesuatu yang dapat menjadikan rakyat kita lebih berkualiti sepertimana usaha Allahyarham Pak Piee dan rakan rakannya serta Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee bersama regu regu penuh berisi beliau, InshaaAllah.

*Penulis Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar adalah Peguambela & Peguamcara Kuala Lumpur.