Malaysia Dateline

Perginya Sang Pemberani

Berulang kali saya cuba menulis tentang Shazni Munir Mohd. Ithnin yang telah pergi meninggalkan menuju negara abadi. Sayangnya, setiap kali saya hendak memulakan ayat, idea saya mati. Saya ulang kembali beberapa seketika, gagal juga. Akhirnya, saya mengalah. Pasrah.

Mungkin sejarah saya bersama dengan Shazni Munir sedikit untuk diriwayatkan sebagai suatu karangan belangsukawa. Mungkin kerana saya tidak menghiraukan butir kata-katanya dan segala langkah kerjanya selama ini. Mungkin kerana saya tidak kisah sangat tentang anak muda ini. Mungkin ada orang lain yang lebih penting atau diutamakan.

Beberapa hari lalu, saya dijemput menghadiri program secara talian bagi memperingati pemergian Shazni Munir Mohd. Ithnin. Program itu dianjurkan oleh Liga Rakyat Demokratik iaitu sekumpulan anak muda yang mempunyai aspirasi membawa tanah air ini ke arah sistem yang lebih berdemokratik.

Liga Rakyat Demokratik diasaskan pada 2015 atas nama ‘Demi Malaysia’ sebelum dijenamakan semula dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 2020. Agendanya adalah untuk menyusun anak-anak muda agar tenaga mereka digemblengkan bagi meneruskan perjuangan menuntut perubahan di tanah air.

Pemimpin politik kiri sebelum merdeka seperti Ahmad Boestamam, Burhanuddin Al Helmy, Pak Sako, Ibrahim Yaakob, Gerald De Cruz, Rosli Dhoby, Zakaria Gunn dan lain-lain menjadi inspirasi perjuangan mereka. Maka, tidak hairanlah, pemikiran dan pendekatannya lebih progresif, radikal dan bertenaga. Sesuai nada anak muda yang rebel.

Perkumpulan ini menghimpunkan tokoh-tokoh anak muda seperti Sheikh Omar, Lim Yi Wei, Rara dan Edry Faizal yang telah menjadi Adun. Manakala yang lainnya seperti Adam Adly, Safwan Anang, Syukri Razab, Fahmi Zainol, Makio Afix Ayob, Amir Hadi, Asraf Sharafi dan lain-lain lagi yang menjadi tonggak aktivisme anak muda sedekad lalu.

Ada dalam kalangan mereka menerima tarbiyah dari Pas semasa di kampus dan mempunyai potensi sebagai pemimpin masa hadapan. Peranan mereka sebagai pemimpin mahasiswa ibarat satu latihan menjadi pemimpin di luar nanti.

Politik kampus

Proses tarbiyah mahasiswa di kampus secara sistematik dikendalikan Dewan Pemuda Pas Pusat sejak zaman kepimpinan Ustaz Abu Bakar Chik. Sejak pertengahan tahun 80-an, Pas memberi perhatian proses pengkaderan kepimpinannya di universiti awam khususnya di Lembah Klang. Sejak itu, politik kampus banyak dibayangi dengan campur tangan politik luar. Namun, sedikit demi sedikit wujud kepimpinan kampus cuba keluar daripada kepompong itu.

Namun, selepas tahun 2008 berlaku pergolakan dalaman tetapi sering dianggap seperti air berkocak dalam cawan ketika itu. Ketika itu bibit-bibit perpecahan dalam parti Islam itu mulai menampakkan keretakannya.

Sebahagian ahli-ahlinya menjadi mangsa pelabelan dalam parti kerana dianggap ‘fikrah tidak jelas’, ‘tiada shahsiah Islamiyah’, ‘tidak siqah’ dan sebagainya oleh sekelompok lain.

Shazni Munir dan angkatannya antara sosok anak muda yang berani melakukan tindakan membebaskan ikatan ketat politik kepartian dengan gerakan mahasiswa. Meski dirinya sudah mempunyai pendirian politik tetapi Shazni Munir memberi warna gerakan mahasiswa sebagai bebas dari ikatan politik.

Shazni Munir yang pernah berkerja di Pejabat Dewan Pemuda Pas Pusat telah mengambil keputusan berhenti selepas Suhaizan Kaiyat dan pasukannya kalah dalam pemilihan kepimpinan Dewan Pemuda Pas Pusat pada 2015.

Banyak anekdot yang dapat dikongsi dari peserta yang pelbagai lapisan dan kelompok. Nyata, penyertaan program memperingati Shazni Munir merentas perbezaan yang pelbagai.

Dari anak muda, veteran, ahli politik, aktivis, ahli sukan, guru dan sebagainya berkongsi cerita selama lebih dua jam. Turut menyertai Presiden AMANAH, Muhamad Sabu; Menteri Besar Selangor Amiruddin, Hassan Karim, Dr. Hatta Ramli, Tian Chua dan lain-lain lagi.

Selepas itu, barulah otak saya bergerak-gerak merakamkan kembali kenangan bersama Shazni Munir. Saya tidak mahu menjadi tukang cerita atau pemberita. Ini kerana sepanjang dua jam program itu berlangsung, Shazni Munir telah membangkitkan semangat juang kepada semua.

Banyak sisi perjuangannya yang tidak pernah didedahkan. Banyak kisah yang sangat memberi inspirasi kepada semua. Secara tidak sedar bahawa kematian Shazni Munir menghidupkan api perjuangan yang masih panjang kepada kita semua.

Hakikatnya, kita tidak perlu menunggu kematian ini untuk sedar, bangkit dan melawan. Kehilangan Shazni Munir perlu segera diganti. Patah tumbuh, hilang berganti.

Lingkaran

Ada di kalangan mereka yang memanggil Allahyarham dengan nama Shazni, ada yang panggil Munir, ada panggil Ustaz, ada memanggil bro. Panggilan itu sudah memberikan tanda gambaran tentang lingkaran rakan-rakannya yang pelbagai lapisan masyarakat. Begitu juga penggunaan ganti nama diri. Ada menggunakan ana – anta, I – you atau aku – engkau.

Kepimpinan Shazni Munir telah terbentuk sejak di Sekolah Menengah Kebangsaan Segamat lagi. Menurut Sheikh Omar, Adun Paloh dan rakan arwah yang bersekolah sama, Shazni Munir pernah meletak jawatan sebagai Ketua Pelajar apabila pihak sekolah tidak membela tindakannya terhadap sekumpulan budak-budak yang melanggar peraturan.

Begitu juga, sewaktu Shazni Munir berada di Tahun Satu Universiti Malaya (UM), bangun ketika khatib membaca teks khutbah Jumaat kerana tidak bersetuju isu yang dibawa.

Tindakannya telah menyebabkan khatib berhenti membaca khutbah dan berlaku kekecohan seketika. Ini mengingatkan kes yang sama menjelang beberapa hari sebelum mengundi pada Pilihan Raya Umum 1999 di Masjid Negara.

Cerita Shazni Munir adalah kisah anak muda yang berani, komitmen dan sanggup berkorban berjuang dalam politik. Apabila Shazni Munir telah membuat keputusan, beliau akan lakukan tanpa memperhitungkan risiko dan implikasi. Dia akan pacak dan nekad lakukan tanpa banyak soal dan fikir. Baginya berfikir terlalu banyak akan hanya melambatkan perjuangan.

Menurut K. Bawani, Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia yang juga Timbalan Setiausaha Agung parti itu turut berkongsi pengalaman berjuang dengan Shazni Munir. Mereka pernah ditahan dengan para demonstran dalam aksi protes mereka. Baginya, Shazni Munir adalah seorang pejuang yang lantang dan berani.

Shazni Munir ditangkap beberapa kali dan dibawa ke mahkamah. Ini memaksa beliau turun naik ke mahkamah beberapa kali. Ada ditangkap kerana menghadiri perhimpunan haram, hasutan dan lain-lain lagi.

Semua ini tidak melemah dan menakutkan untuk beliau menapak ke hadapan dalam memperjuangkan keadilan rakyat.

Ada perkara selain Shazni Munir sebagai seorang sang pemberani. Tunggu sambungan tulisan ini nanti.

Pemergian Shazni Munir menghidupkan api perjuangan yang masih panjang kepada kita semua.