Malaysia Dateline

Pergolakan di Johor akibat kesilapan Bersatu khianat bekas rakan PH

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan pergolakan yang berlaku antara Umno dan Bersatu di Johor adalah akibat daripada kesilapan Bersatu sendiri yang membelakangkan bekas rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) dan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Beliau berkata, keputusan mereka terutama daripada 11 Adun Bersatu yang terburu-buru mahu membentuk kerajaan bersama BN sehingga kehilangan jawatan Menteri Besar, kini sedang menghantui diri mereka sendiri.

Ahli Parlimen PKR itu melahirkan persoalan adakah kini Bersatu Johor sudah sedar dan mahu kembali ke pangkuan PH.

Namun, persoalan lebih besar timbul, apakah wajar untuk PH menerima mereka kembali setelah mengkhianati mandat rakyat dan persefahaman yang pernah dicapai bersama.

“Memang benar jalan kebenaran dan bermaruah masih belum jauh di belakang. Apakah semudah itu penyokong akan menerima semula mereka bersama PH?

“Nilai maruah yang dirobek itu terlalu tinggi untuk didagangkan hanya dengan perbuatan lompat melompat. Ia merupakan nilai maruah dan amanah yang diletakkan oleh rakyat, bukan PH.

“Ia belum mengambil kira kekecewaan penyokong PH dan anggota Bersatu sendiri terhadap pengkhianatan tersebut sehingga menyebabkan kerajaan yang sah akhirnua tumbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Syed Noh lagi, keputusan walau bagaimanapun wajib bersandar kepada landasan prinsip yang betul dengan perbincangan tuntas dalam kalangan pimpinan dan bukannya semata-mata kerana politik kuasa dan kesempatan.

Beliau berkata, adalah penting untuk PH terus mengukuhkan persefahaman dan mengumpul kekuatannya sendiri di semua peringkat terutama di Johor, untuk membentuk sebagai pembangkang yang kuat tanpa terdedah kepada sabotaj daripada mana-mana pihak.

Pada masa sama, Pengerusi PKR Johor itu turut mengulas, melahirkan rasa hairan terhadap pendirian Umno Johor, Datuk Seri Khaled Nordin yang dahulunya pernah menolak lantikan politik namun kini menerima habuan tersebut.

Syed Noh berkata, beliau turut berpendapat seperti Adun Paloh, Sheikh Omar, bahawa pelantikan Khaled dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bakal menimbulkan pelbagai persepsi oleh kerana sebelum ini Khaled lantang menjadi suara semak dan imbang kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau mempersoalkan, adakah Khaled akhirnya mendapat habuan selepas tindakan beliau yang lantang mengkritik PN.

“Adakah Khaled juga akan tutup mulut daripada terus mengkritik kerajaan PN khususnya Bersatu seperti mana yang berlaku mutakhir ini di Johor?

“Saya sebenarnya tidak terkejut dengan lantikan dan situasi begini, apatah lagi DNA Umno telah kembali semula dalam kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Inilah mungkin satu-satunya jalan penyelesaian politik yang lazim bagi Umno. Beri habuan politik dan tutup mulut,” sindirnya.

Terdahulu, rasa tidak puas hati Bersatu terhadap Umno Johor dikatakan berpunca daripada pelantikan jawatan penting dalam agensi kerajaan di negeri itu yang dikuasai Umno.

Ia pertama kali ditimbulkan oleh Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri yang juga EXCO Negeri dan Adun Tenang, meminta parti lain yang membentuk kerajaan PN agar tidak memandang rendah keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.

Syed berkata, ia kemudiannya diikuti pandangan Khaled Nordin, yang mengakui rapuhnya gabungan PN di Johor, tetapi menolak ‘habuan politik’ dalam bentuk lantikan jawatan sebagai penyelesaiannya.

Setelah itu, Adun Permas daripada Bersatu, Che Zakaria Mohd Salleh pula mempertikaikan pelantikan Khaled Nordin sebagai pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG).

Bagaimanapun, kedua-duanya Khaled dan Che Zakaria kini ditawarkan lantikan baharu.

Tiga hari lalu, Khaled dilantik sebagai Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif syarikat Boustead Holdings Bhd (Boustead), manakala Che Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA).