Malaysia Dateline

Perhalusi Belanjawan 2021 demi kebajikan rakyat, titah YDPA

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap Menteri Kewangan YB Senator Tengku Dato Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan penyediaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November 2020 ini.

Di dalam majlis menghadap yang berlangsung selama 70 minit bermula pada jam 3 petang di Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi dan fiskal negara

Seri Paduka Baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin turut menzahirkan harapan agar Kerajaan dapat memperhalusi dengan sebaik-baiknya cadangan-cadangan yang telah dikemukakan bagi merangka Belanjawan yang bersifat inklusif dan komprehensif, serta berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif wabak COVID-19.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengenepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amatlah penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan
negara yang amat terkesan akibat bencana wabak COVID-19,” katanya.

Justeru, baginda bertitah dalam keadaan menghadapi situasi yang sukar dan genting ini, adalah wajar kerajaan mendahulukan kemaslahatan masyarakat umum di atas kepentingan individu secara khusus.

“Ia sejajar dengan kaedah fiqh dengan merujuk kepada Al-Muwafaqat (jilid 3, mukasurat 88) yang bermaksud “mengambil kira kemaslahatan umum adalah lebih didahulukan daripada mengambil kira maslahah khusus,” katanya.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar semangat kerjasama yang dizahirkan oleh pelbagai pihak dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan negara.