Malaysia Dateline

Perhilitan aktif adakan operasi bersepadu basmi pemburu haram di hutan Johor

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia Johor sedang aktif menjalankan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dalam usaha untuk membasmi aktiviti pemburu haram di negeri ini.

Pengarah Perhilitan Johor Salman Saaban berkata operasi itu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia tertumpu di kawasan-kawasan hotspot pemburuan haram seperti di Taman Negara Endau-Rompin dan gugusan kawasan hutan Lenggor/Panti, dekat Kota Tinggi.

“Bagaimanapun, maklumat-maklumat daripada orang ramai dalam membantu pihak berkuasa mengesan aktiviti pemburuan haram hidupan liar amatlah diperlukan,” kata beliau kepada Bernama, hari ini.

Pada 16 Okt lepas menerusi operasi bersepadu itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga Kemboja kerana dipercayai menceroboh kawasan Hutan Taman Negara Johor Endau-Rompin.

“Selepas diperiksa, antara yang dijumpai ialah tiga bahagian daging babi yang telah disalai seberat 1.3 kilogram, dua helai bulu burung kuang, satu bungkusan disyaki daging hidupan liar yang telah disalai seberat 500 gram dan dua unit disyaki taring hidupan liar,” tambah Salman.

Turut dijumpai 162 disyaki jerat nylon, satu kilogram kayu gaharu, tiga unit kapak, dua unit parang, satu jaring menangkap ikan, set peralatan pencungkil kayu gaharu, passport dan satu unit kad UNHCR atas dua nama berlainan dan enam guni beras.

Kes akan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor.

Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini yang mahukan Perhilitan serta agensi penguatkuasaan lain meningkatkan operasi rondaan di kawasan hutan di Johor bagi membanteras aktiviti pemburu haram.

Melahirkan kebimbangan baginda, Sultan Ibrahim bertitah negeri itu yang kaya dengan flora dan fauna, perlu sentiasa dipulihara serta dijaga dengan sebaiknya.

Baginda turut memberi amaran kepada pemburu tempatan, warga asing atau sesiapa yang terlibat dalam aktiviti pemburuan hidupan liar.

Mengenai kenyataan baginda berhubung penemuan empat harimau termasuk dua harimau putih berhampiran Sungai Sayong, di Kota Tinggi, baru-baru ini, Salman berkata pihaknya akan memantau dan menyiasat lebih lanjut mengenai kehadiran kumpulan harimau itu.

— BERNAMA