Malaysia Dateline

Perhimpunan Agung Umno 2019 bermula dengan persidangan sayap

Perhimpunan Agung Umno 2019 bermula hari ini dengan majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung sayap Wanita, Pemuda dan Puteri malam ini, yang disempurnakan Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad dalam ucapannya pada majlis perasmian itu berkata Umno tidak lagi boleh ‘memaksa’ serta memujuk orang Melayu untuk menerima dan menjadikan parti itu sebahagian daripada ‘rukun’ mereka.

Katanya setelah 18 bulan sebagai pembangkang, jika parti itu masih gagal melahirkan ideologi yang baharu dan segar, Umno akan kekal seperti jasad yang tanpa jiwa, tanpa roh, kosong dan kontang.

“Umno, tidak boleh beroperasi seperti dahulu lagi. Segalanya kita lakukan sendirian dan kemudian kita paksakan ia menjadi rukun, ke atas orang Melayu. Zaman itu telah berakhir,” katanya pada majlis perasmian yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Turut hadir ketua-ketua pergerakan sayap Datuk Noraini Ahmad (Wanita), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Pemuda) dan Datuk Zahida Zarik Khan (Puteri).

Esok tiga sayap parti itu akan mengadakan persidangan masing-masing, manakala perhimpunan agung parti diadakan pada Jumaat dan Sabtu ini.

Perhimpunan Agung Umno  tahun ini secara keseluruhannya melibatkan 5,603 perwakilan seluruh negara, termasuk 976 perwakilan Wanita, Pemuda (973) dan Puteri (960).

Perhimpunan tahun ini yang bertemakan ‘Umno- Sebuah Perjuangan’, merupakan tahun kedua parti itu sebagapembangkang selepas Umno dan BN tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu– BERNAMA